PUTRAJAYA – Indeks Pelopor (IP) Malaysia kekal dalam pertumbuhan positif dengan mencatatkan 1.5 peratus pada Oktober 2024, mencecah 111.1 mata berbanding 109.5 mata pada bulan sama tahun sebelumnya.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, Indeks Perusahaan Bursa Malaysia mempamerkan prestasi kukuh dengan 27.9 peratus, meletakkannya sebagai penyumbang utama kepada peningkatan ini.
“Sebaliknya, prestasi bulanan IP menunjukkan penurunan marginal sebanyak 0.4 peratus berikutan empat dari tujuh komponen menyusut, terutamanya Indeks Perusahaan Bursa Malaysia dan Import Benar Semi Konduktor, masing-masing menurun sebanyak 0.3 peratus.
“IP mula mencatatkan arah aliran di bawah 100.0 mata, menunjukkan ekonomi Malaysia dijangka kekal berkembang walaupun sederhana pada bulan-bulan akan datang pada 2025.
“Faktor dalaman seperti permintaan domestik yang kukuh dan trend pasaran pekerjaan yang positif dijangka menyokong prospek ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, Indeks Serentak (IS) yang mengukur prestasi ekonomi semasa mencatatkan peningkatan tahunan sebanyak 1.7 peratus, mencecah 126.4 mata berbanding 124.3 mata pada bulan sama tahun sebelumnya.
“Peningkatan ini sejajar dengan prestasi yang memberangsangkan daripada Nilai Caruman Benar, KWSP (6.8%) dan Indeks Kuantiti Perdagangan Runcit (5.0%),” katanya.
“Prestasi bulanan IS juga mengalami peningkatan 0.6 peratus pada Oktober 2024, selepas menyusut 0.7 peratus pada bulan sebelumnya merentas semua komponen,” katanya lagi. – MalaysiaGazette