PUTRAJAYA – Kerajaan akan memberi subsidi diesel kepada pengusaha-pengusaha feri dan bot penumpang serta perkhidmatan roro di pulau utama Semenanjung Malaysia berkuat kuasa 1 Januari depan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, tuntutan pertama boleh dikemukakan oleh pengusaha terlibat sebelum 20 Februari 2025.
“Pemberian subsidi ini sejajar dengan usaha keprihatinan kerajaan untuk memastikan kelangsungan dan keberkesanan perkhidmatan pengangkutan awam,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Menurut Loke, subsidi diesel akan dibekalkan kepada penyedia pekhidmatan tersebut di laluan-laluan strategik iaitu Wilayah Persekutuan Labuan, Pulau Langkawi, Pulau Pangkor, Pulau Ketam, Pulau Tioman, Pulau Redang dan Pulau Pinang.
Katanya, harga siling diesel bersubsidi bagi perkhidmatan itu ditetapkan RM2.50 seliter dengan kadar maksimum subsidi sebanyak 50 sen seliter.
Jelas beliau, subsidi itu dijangka memberi impak positif kepada pengusaha-pengusaha feri, bot dan feri roro dengan mengurangkan bebanan kos operasi khususnya yang melibatkan kos bahan bakar.
Dalam pada itu, Loke berkata, di bawah kelulusan itu, pengusaha yang layak perlu mematuhi syarat-syarat bagi membolehkan mereka menikmati subsidi diesel.
“Antara syarat-syarat itu ialah pengusaha perkhidmatan berkenaan mesti berdaftar dengan Jabatan Laut Malaysia dan mendapat bekalan diesel daripada syarikat bunker atau skid tank yang disahkan oleh pihak berkuasa.
“Pengusaha yang layak perlu mengemukakan permohonan kuota pembelian diesel kepada Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Diesel (JKSD) di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri da Kos Sara Hidup (KPDN),” ujarnya.
Tambah beliau, tuntutan subsidi perlu dibuat secara bulanan berdasarkan kadar yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kewangan pada setiap bulan dan mengemukakan tuntutan yang disahkan oleh Jabatan Laut Malaysia ke Kementerian Kewangan.
“Turut perlu disertakan satu Salinan kepada stesen Kastam terdekat untuk proses verifikasi tidak lewat daripada 20 haribulan bagi tarikh berikutnya,” tambahnya.
Loke menegaskan, meskipun subsidi diesel bertujuan untuk meringankan kos operasi pengusaha feri, namun menjadi tanggungjawab pengusaha perkhidmatan itu memastikan mutu perkhidmatan dan aspek keselamatan feri dipertingkatkan.
Katanya, ia bagi memastikan perkhidmatan yang lebih efisien dan berdaya saing dapat diberikan kepada pengguna. – MalaysiaGazette