Pengunjung tidak melepaskan peluang untuk menukilkan kata-kata terhadap kejadian kehilangan pesawat MH370 sempena Pameran Memperingati Tahun ke 3 kehilangan pesawat MH370 di Publika, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur.

PUTRAJAYA – Jemaah Menteri bersetuju secara prinsip menerima tawaran daripada syarikat Ocean Infinity (United Kingdom) untuk meneruskan operasi pencarian dasar laut bagi mengesan bangkai pesawat Boeing, B777 milik Malaysia Airlines yang hilang pada 2014.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, keputusan itu dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 13 Disember lalu.

Katanya, pencarian dasar laut itu membabitkan satu lokasi baharu yang dianggarkan seluas 15,000 kilometer persegi di Selatan Lautan Hindi berdasarkan prinsip ‘no find, no fee’.

“Lokasi kawasan pencarian baharu yang dicadangkan oleh Ocean Infinity adalah berasaskan kepada maklumat serta analisis data terkini yang telahd dibuat oleh pakar-pakar dan penyelidik.

“Cadangan operasi pencarian oleh Ocean Infinity ialah cadangan yang kukuh dan wajar diteliti oleh Kerajaan Malaysia selaku negara pendaftaran pesawat MH370,” katanya pada sidang media di kementeriannya, di sini, hari ini.

Loke berkata, Kementerian Pengangkutan sedang berunding terma dan syarat perjanjian dengan Syarikat Ocean Infinity yang dijangka dimuktamadkan pada awal tahun depan.

Jelasnya, keputusan prinsip itu adalah manifestasi komitmen kerajaan dalam memastikan operasi pencarian diteruskan dan memberi penutup bagi keluarga waris penumpang pesawat tersebut.

Pada 5 November lalu, Loke dipetik berkata, kerajaan masih berhasrat untuk mencari MH370 dengan melaksanakan rundingan bersama syarikat Ocean Infinity di United Kingdom yang menawarkan operasi mengesan bangkai pesawat itu melalui operasi pencarian dasar laut.

Beliau berkata, pertimbangan itu dibuat atas aspirasi kerajaan yang tidak akan mengabaikan bagi mencari bangkai pesawat MH370 sekiranya terdapat maklumat atau petunjuk baharu yang sahih dan kukuh.

Loke tuut memberitahu, berhubung aspek pampasan, wujudnya sebilangan kecil ahli keluarga mangsa pesawat MH370 yang tidak sanggup menerima bayaran berkenaan atas sebab peribadi.

Jelas beliau, antaranya adalah mereka merasakan masih ada harapan bahawa mangsa pesawat MH370 akan pulang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast