KUALA LUMPUR- Universiti Malaya (UM) membuat satu lagi laporan berhubung insiden seekor kucing mati dalam keadaan mengerikan di kawasan kampusnya, hari ini.
Dalam satu kenyataan malam ini, universiti itu berkata, pihaknya amat prihatin terhadap insiden membabitkan beberapa ekor kucing mati dalam keadaan ngeri di sekitar kampus sejak kebelakangan ini.
“Insiden ini merupakan kes kedua yang berlaku dan langkah ini diambil untuk membantu pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut serta memastikan tindakan diambil sekiranya terdapat unsur penganiayaan oleh manusia.
“Sebagai langkah proaktif, pihak pengurusan UM pada Ogos lepas telah meluluskan penubuhan ‘Universiti Malaya Animal Guardians’, satu inisiatif yang bertujuan menangani isu haiwan terbiar dalam kampus,” katanya.
Menurut kenyataan tersebut, antara fungsi utama inisiatif berkenaan adalah mengenal pasti haiwan terbiar dalam kawasan kampus UM; bekerjasama dengan Jabatan Harta Benda (JHB) untuk menyelamatkan haiwan-haiwan ini; menyediakan tempat perlindungan dan rawatan kepada haiwan yang diselamatkan; dan meningkatkan kesedaran warga kampus mengenai perlindungan dan kebajikan haiwan serta pencegahan kekejaman terhadap binatang.
Selain itu, Pejabat Keselamatan UM juga akan meningkatkan kawalan serta menyeru semua warga kampus yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan insiden ini untuk menghubungi pihak keselamatan di talian 03-7967 7777.
Terdahulu, satu hantaran di media sosial tular berkenaan dua kucing ditemui dalam keadaan mengerikan apabila keempat-empat kaki kelihatan seperti dipotong dan perutnya dibelah di kawasan Fakulti Perniagaan dan Ekonomi UM.
Susulan itu, Kesatuan Pelajar UM Fakulti Perniagaan dan Ekonomi (KMUM FPE) membuat laporan polis dan menggesa pengurusan kampus mengambil serius perkara itu.- MalaysiaGazette