KUALA LUMPUR – Putrajaya menyeru agar Kumpulan Negara D8 yang terdiri daripada Mesir, Bangladesh, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan dan Turki untuk mengambil tindakan segera terhadap tindakan terkutuk Israel menyerang Palestin.
Wakil negara ke Sidang Kemuncak ke-11 Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata kumpulan itu sepatutnya bergerak sebagai satu kumpulan dengan tidak membiartkan seluruh rakyat Palestin menderita.
“Janganlah dikatakan bahawa kita membenarkan kemunafikan untuk menentukan punca keadilan. D-8 mesti mengatasi kemunafikan ini.
“Kita mesti menjadi suara orang yang tidak bersuara. Kita mesti berdiri dengan satu suara, dan satu tindakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Zambry adalah wakil Malaysia dalam sidang kemuncak D8 antara Ketua-ketua Negara.
Beliau yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata satu sidang khas telah dianjurkan Kerajaan Republik Mesir untuk membincangkan situasi semasa di Palestin dan Lubnan.
Jelanya lagi, terdapat dwi-standard yang mengawal setiap tindak tanduk masyarakat antarabangsa malah seluruh dunia telah menyaksikan dan mengutuk Israel atas kekejamannya.
“Tidak seorang pun, bukan satu entiti pun dapat menghalangnya. Semuanya kerana Israel disokong oleh kuasa Barat; kuasa yang memperjuangkan hak asasi manusia dan demokrasi, tetapi hanya apabila ia sejajar dengan kepentingan mereka, acuh tak acuh kepada rakyat Palestin kehilangan nyawa dalam proses itu,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, Malaysia telah menyokong menyokong Deklarasi Kaherah sebagai bukti untuk memperkasakaan beliau negara sebagai pemimpin masa depan.
Komitmen itu jelas Zambry disuarakan Putrajaya dalam Sidang Kemuncak ke-11 Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) yang berlangsung di Kaherah, Mesir pada 18 hingga 19 Disember lalu.
“Dalam Kenyataan Negara yang disampaikan, saya telah menyatakan sokongan Malaysia kepada pembangunan belia terutamanya dalam sektor ekonomi dan keusahawanan.
“Kita berhadapan dengan belia zaman kecerdasan buatan (AI), berinovasi dan teknologi terkini, maka pendidikan yang seimbang mesti menyepadukan kecanggihan ini dengan nilai moral dan etika.
“Sifat ihsan dan berperikemanusiaan harus kekal sebagai teras sistem pendidikan kita kerana masyarakat yang kehilangan nilai-nilai ini adalah masyarakat yang hanyut,” katanya lagi. – MalaysiaGazette