Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin ketika temubual pada program SKOP MG di Pejabat MalaysiaGazette, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 20 DISEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – “Saya sudah berbincang dengan beberapa peguam dan akan mengambil tindakan terhadap Khairy Jamaludin,” demikian menurut Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin.

Beliau berkata demikian selepas mendapati klip kenyataan Khairy dan Shahril Hamdan menerusi program audio siar Keluar Sekejap tahun lalu berkaitan calon-calon UMNO Selangor pada Pilihan Raya Negeri tahun lalu.

“Peguam sudah mengumpulkan semua klip yang memfitnah saya kerana malam ini sudah terbongkar segala-galanya.

“Jadi, memang ada asas (fitnah) tersebut dan saya bersedia mengambil tindakan undang-undang kerana beliau menyebut nama saya sebagai perancang, playmaker, warlord yang menafikan Tengku Zafrul untuk memajukan karier politiknya di Selangor,” katanya.

Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin ketika temubual pada program SKOP MG di Pejabat MalaysiaGazette, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 20 DISEMBER 2024.

Megat Zulkarnain berkata demikian secara eksklusif menerusi program SKOP MG yang disiarkan malam tadi.

Dihoskan oleh Haslina AR Kamaludin, Megat Zulkarnain berkata, beliau yakin tindakan itu akan dapat menghentikan semua kenyataan-kenyataan seperti sebelum ini.

“Kita tengoklah nanti bila masanya tiba,” jawabnya ringkas.

Tidak hanya itu, Megat Zulkarnain turut menunjukkan mesej-mesej menerusi aplikasi Whatsapp antara beliau dan Tengku Zafrul.

“Saya tidak menipu, anda sudah melihatnya sendiri. Mengapa pula saya dilabel macam-macam sedangkan semua itu tidak benar.

“Lama saya berdiam, malam ini saya tampil untuk memberitahu perkara sebenar dan tiada niat mahu bergaduh atau sebaliknya,” ujarnya.

Ditanya mengapa selepas setahun perkara ini mahu dibangkitkan, Megat Zulkarnain berkata, ia susulan daripada ura-ura Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bakal meninggalkan UMNO dan menyertai PKR.

“Dulu dalam program Keluar Sekejap, secara jelas menyebut nama saya sebagai kartel kecil dan macam-macam lagi.

“Sekarang ni pula, apabila ada ura-ura Tengku Zafrul nak pilih parti lain, orang menyalahkan saya lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Megat Zulkarnain menafikan hantaran Tengku Zafrul di Facebooknya mengenai kepincangan UMNO Selangor.

“Dalam kenyataan Tengku Zafrul, jelas menyebut UMNO Selangor ini seperti ada masalah sedangkan kami semua harmoni dan sentiasa buat kerja macam biasa.

“Tindakan Tengku Zafrul itu terpalit pada saya dan fitnah sayalah punca Keputusan meninggalkan parti.

“Saya menafikan perkara itu kerana kami baik dan beliau sendiri memberikan ucapan selamat hari lahir pada saya, Cuma saya terkejut dengan tindakan seperti ini,” katanya.

Megat Zulkarnain berkata, pihaknya hanya menantikan keputusan Tengku Zafrul dan menghormati apa juga yang akan dilakukan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here