PETALING JAYA – Datuk Mas Ermieyati Samsudin menyerahkan kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin untuk menjawab dakwaan kononnya parti Bersatu membolot jawatan utama dalam parti gabungan itu.
Beliau yang juga Ketua Srikandi Bersatu dan Ketua Wanita PN yakin Muhyiddin mempunyai kaedah terbaik untuk mencari jalan penyelesaian berkaitan isu terbabit.
“Ini bukan kali pertama, saya rasa ini perkara biasa berlaku. Malah dalam organisasi benda mesyuarah ini selalu dilakukan, saya yakin dan percaya ada kaedah terbaik
“Bukan kata kita tak nak masuk campur tapi saya yakin dan percaya kepada kewibawan dan kebijaksanaan Tan Sri Pengerusi dan kepimpinan tertinggi,” katanya kepada media.
Mas Ermieyati ditanya mengenai kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin yang mahu jawatan tertinggi PN dirundingkan semula.
Menurut Hashim, tindakan Bersatu mendominasi atau membolot jawatan-jawatan penting dalam PN dikhuatiri membawa suasana tidak jernih dan mengeruhkan perpaduan dalam gabungan tersebut.
Hashim berkata, Muhyiddin selaku Pengerusi PN perlu mengambil perhatian serius soal berkenaan dan melakukan pertimbangan semula dalam menentukan kedudukan di dalam barisan kepemimpinan PN.
Majlis Tertinggi PN yang bermesyuarat pada 9 Disember lalu telah mengesahkan pelantikan enam jawatan penting kesemuanya kekal menjadi milik Bersatu.
Sementara itu Mas Ermieyati menafikan dakwaan kononnya hubungan Bersatu dan Pas semakin renggang dan mempunyai masalah.
“Orang bercakap dan banyak persepsi, tapi saya lihat hubungan Pas dan Bersatu nampak tak ada masalah. Malah di negeri-negeri dan bahagian kita meneruskan kerjasama yang baik dan rapat,” katanya.
Menurut Mas Ermieyati, sebaik dilantik sebagai Ketua Wanita PN, beliau telah menghubungi Ketua Muslimat Pas, Nuridah Mohd Salleh untuk berbincang mengenai halatuju pergerakan wanita dalam parti gabungan itu.
Bagaimanapun masih belum ada kesempatan untuk berjumpa disebabkan Nuridah tidak sihat dan mungkin akan bertemu dengan Ketua Muslimat Pas itu minggu depan.
“Apa pun saya serah kepada pucuk pimpinan untuk segala, mungkin ada perkara penting di luar pengetahuan, pasti dapat dilaksana sebaik mungkin.
“Bagi saya pelantikan sebagai Ketua Wanita PN tugas saya adalah untuk menjadikan ia satu gerakan boleh memantapkan lagi PN terutama untuk berhadapan dengan pilihan raya negeri tidak lama lagi,” kata beliau.
Mas Ermieyati ditemui selepas mempengrusikan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Srikandi Bersatu Malaysia di ibu pejabat parti itu di sini hari ini. – MalaysiaGazette