KUALA LUMPUR- Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) untuk Penyedia Perkhidmatan Pesanan Internet dan Penyedia Perkhidmatan Media Sosial diterbitkan hari ini.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dalam kenyataannya berkata, Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) itu adalah susulan daripada Laporan Rundingan Awam yang diterbitkan pada 18 Disember lalu.
Jelasnya, Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) dibangunkan untuk menyokong kerangka kelesenan untuk penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan penyedia perkhidmatan media sosial.
Ia menggariskan amalan terbaik untuk diterima pakai oleh penyedia perkhidmatan dalam menangani kandungan dalam talian yang memudaratkan dan keperluan tatalaku yang lain.
“Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) bertujuan untuk memastikan penyedia perkhidmatan mengutamakan keselamatan dalam talian, terutamanya untuk kanak-kanak dan golongan rentan.
“Suruhanjaya menghargai maklum balas yang diterima sepanjang proses rundingan awam tersebut.
“Maklum balas daripada pihak awam telah bantu memastikan Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) mampu menangani cabaran yang sentiasa berkembang dalam persekitaran dalam talian sambil mewujudkan ruang yang lebih selamat dan terjamin untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.
Tambahnya, Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) itu juga akan disemak dari semasa ke semasa mengikut keperluan untuk memastikan ia kekal relevan dan berkesan dalam menangani cabaran semasa.
MCMC juga akan memberikan panduan dalam penerapan Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) ini untuk memastikan keberkesanannya bagi mengekalkan persekitaran dalam talian yang selamat.- MalaysiaGazette