ALOR GAJAH – Kementerian Pertahanan (Mindef) tidak bercadang memperkenalkan model elaun kepada peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 bermula 12 Januari tahun depan.
Timbalan Menterinya Adly Zahari berkata, perkara itu tidak pernah dibincangkan atau diputuskan kecuali untuk menanggung kos perjalanan peserta lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang menyertai program berkenaan.
“Setakat ini kita (Mindef) secara umum kita tidak bercadang untuk memperkenalkan model elaun, kita lebih banyak memperkenalkan model untuk menanggung semua keperluan-keperluan (peserta).
“Buat masa ni (elaun) kita tak ada putuskan lagi…yang kita putuskan adalah untuk beri mereka tanggungan perjalanan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata demikian selepas menyampaikan bantuan zakat Pertubuhan Akademi Al Bayan di Bukit Senggeh, di sini, hari ini.
Hadir sama Pengerusi Akademi Al Bayan, Dr Nur Mohammad Hadi Zahalan.
Mengulas lanjut Adly berkata, PLKN 3.0 yang bermula 12 Januari tahun depan membabitkan 200 pelatih lelaki lepasan SPM selama 45 hari sebelum diperluaskan ke fasa seterusnya pada Jun tahun depan.
Latihan atau fasa percubaan itu akan dilaksanakan di Rejimen 515 Askar Wataniah, Kem Transit di Kuala Lumpur.
Media sebelum ini melaporkan sebanyak 13 kem tentera dikenal pasti sebagai lokasi pelaksanaan PLKN 3.0 antaranya di Kuala Lumpur dan Pahang yang akan digunakan bagi menempatkan peserta terpilih menjelang 2026. – MalaysiaGazette