Thaksin Shinawatra

KUALA LUMPUR – Pelantikan Thaksin Shinawatra sebagai penasihat tidak rasmi untuk membantu Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dilihat tidak pernah berlaku dalam sejarah organisasi tersebut.

Ini kerana Thaksin yang merupakan bekas Perdana Menteri Thailand, dikenali kerana peranannya yang kontroversial dalam politik di negaranya, kata Pengerusi Hak Konsumer Sejahtera (HAKS), Shahir Adnan.

Beliau berkata, sekiranya Malaysia merujuk pelantikan atau penglibatan individu seperti Thaksin dalam kapasiti penasihat tidak rasmi melalui peranan tidak formal dalam aspek diplomatik atau perundingan, ia perlu diberi penjelasan penuh oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN.

“Ini kerana, Malaysia tidak seharusnya terpalit dengan apa jua isu negatif yang melibatkan Thaksin.

“Harus diingat, beliau hidup dalam buangan selama bertahun-tahun dan kini disabitkan kes rasuah.

“Terkini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Kebangsaan (NACC) Thailand memutuskan untuk menyiasat beberapa pegawai kerajaan yang dituduh membenarkan Thaksin tinggal di hospital dan bukannya penjara,” katanya dalam kenyataan.

Shahir berkata, Thaksin kembali ke Thailand pada 22 Ogos tahun lalu selepas 15 tahun hidup dalam buangan.

Pada tarikh tersebut kata beliau, Thaksin dibawa ke Mahkamah Agong dan telah dijatuhi hukuman penjara lapan tahun atas tiga pertuduhan.

“Hukuman itu kemudian dikurangkan kepada setahun atas pengampunan diraja.

“Mungkin ramai lagi bekas perdana menteri atau presiden yang lebih bersih untuk diambil menjadi Penasihat kepada Kepengerusian ASEAN, seperti Jokowi.

“Justeru, sebagai cadangan demi melihat Malaysia yang lebih hebat, kerajaan perlu mengkaji semula mengenai pelantikan Thaksin ke jawatan tersebut,” ujarnya.

Shahril Adnan
Shahir Adnan

Pelantikan Thaksin, yang dicadangkan oleh Malaysia dan dipersetujui oleh Thailand dan diumumkan oleh Anwar pada sidang media bersama rakan sejawatannya dari Thailand, Paetongtarn Shinawatra, di Putrajaya, Isnin lalu.

Malaysia secara rasmi akan memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 1 Januari tahun depan dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, yang mencerminkan aspirasi negara untuk memupuk ASEAN yang bersatu dan makmur. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here