PUTRAJAYA – Bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua mencadangkan agar semua persatuan pemandu e-hailing bergabung untuk membentuk kesatuan sekerja bagi membolehkan tuntutan mereka didengari syarikat perkhidmatan pengangkutan itu.
Beliau berkata, melalui platform kesatuan sekerja, mereka mempunyai hak untuk berunding sama ada majikan mahupun kerajaan dalam memastikan harga lantai tambang e-hailing dapat dikuatkuasakan menjelang 21 Januari 2025.
“Saya cadangkan pertubuhan-pertubuhan e-hailing yang datang dari pelbagai tempat supaya dicantumkan menjadi satu kesatuan sekerja.
“Dengan kesatuan sekerja ini, mereka boleh berunding, boleh tandatangan perjanjian kolektif, mereka boleh letakkan gaji minimum dan lain-lain.
“Ia juga bagi memastikan ada skim persaraan selepas mereka bersara daripada perkhidmatan e-hailing,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), di sini, hari ini.
Terdahulu Tian Chua bersama kira-kira 30 pemandu e-hailing dari seluruh negara menyertai Piket Aman Sahabat E-Hailing Putrajaya 2.0 di parking MOT.
Piket itu antara lain mendesak kerajaan mewujudkan kawalan harga lantai tambang e-hailing di negara ini dan menguatkuasakannya selewat-lewatnya pada 21 Januari 2025.
Dalam pada itu, Tian Chua mengingatkan kerajaan agar tidak mengambil kesempatan ke atas komuniti pemandu e-hailing hingga kebajikan terabai susulan kedudukan mereka tidak diiktiraf sebagai pekerja di negara ini.
“Kerajaan tidak harus menyombong diri di dalam kelonggaran undang-undang yang ada ini dan tidak mengiktiraf bahawa pemandu-pemandu e-hailing ini tidak diakui sebagai pekerja.
“Mereka harus dianggap sebagai pekerja yang lain dan syarikat-syarikat e-hailing ini harus dianggap sebagai majikan yang lain, mereka harus mengambil tanggungjawab sebagai majikan,” katanya. – MalaysiaGazette