PETALING JAYA – Menteri Pengangkutan Anthony Loke dialu-alukan untuk menghadiri prosiding Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung perolehan kereta api elektrik (EMU).
Menurut Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, PAC terbuka untuk menerima kehadiran Anthony malah jawatankuasa itu pernah memanggil Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Bgara ke prosiding yang dijalankan.
“Saya punya pandangan bahawa PAC boleh masuk dalam apa-apa keadaan sama ada benda itu belum mula, atau sudah mula dan sebagainya.
“Misal kata kalau Yang Amat Berhormat Menteri nak datang ke prosiding saya pun, saya amat mengalu-alukan. Dalam prosiding PAC pun selama ini kita pernah panggil Perdana Menteri.
“Baru-baru ini kita panggil Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Peguam Negara pun hadir. Dua Ketua Setiausaha hadir dalam satu prosiding yang sama.
“Jadi tidak ada masalah pun mana-mana pihak hendak memberikan kerjasama, maklumat dan membantu dalam menyediakan laporan PAC. Kita amat mengalu-alukanlah,” kata kepada media
Beliau ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Srikandi Bersatu Malaysia di ibu pejabat parti itu di sini hari in
Mas Ermieyati ditanya mengenai isu dibangkitkan oleh Anthony yang mempersoal kewajaran siasatan PAC berkaitan perolehan kereta api elektrik secara pajakan selama 30 tahun bernilai RM10.7 bilion.
Anthony berkata, projek berkenaan masih di peringkat perancangan dan tiada sebarang kontrak sudah dimuktamadkan.
“Saya tidak tahu apa yang mereka (PAC) mahu siasat. Kontrak pun belum dimeterai. Tiada apa yang perlu mereka siasat kerana ia masih di peringkat perancangan.
“Ia masih belum ditandatangani seperti yang telah saya nyatakan di Parlimen berkali-kali,” kata Anthony kepada media baru-baru ini.
PAC sebelum ini mengumumkan akan memulakan prosiding lima isu baharu pada sesi persidangan Dewan Rakyat akan datang.
Mas Ermieyati dilaporkan berkata isu terbabit antaranya melibatkan prosiding Pengurusan Lapangan Terbang, Pelaburan Domestik Khazanah Nasional Bhd dan Pembangunan Tanah Kuala Lumpur.
Isu lain ialah Ekosistem Perkhidmatan Kesihatan Swasta, Mekanisme Pengawalan, Rangka Perundangan dan Kaedah Pembiayaan melalui Insurans Perubatan; Implikasi Kenaikan Harga Perkhidmatan Swasta kepada Hospital Kerajaan serta Perolehan Kereta Api Elektrik Secara Pajakan Selama 30 Tahun Bernilai RM10.7 bilion.-MalaysiaGazette