KUANTAN – Polis sedang mengesan keberadaan seorang lelaki berbangsa Melayu yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Hijrah, di sini, pada 13 Disember lepas.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan mangsa dikenali sebagai Safri Mohd Ali, 55 pada 14 Disember lepas.
Beliau berkata, adik mangsa membuat laporan selepas mendapati abangnya tidak pulang ke rumah setelah keluar untuk mengambil ubat di Klinik Kesihatan Batu 3, Kampung Kurnia pada jam 8 pagi hari tersebut.
“Hasil siasatan dijalankan mendapati, mangsa yang mempunyai penyakit asma telah keluar dari rumahnya menaiki kenderaan jenis Perodua Viva berwarna biru gelap bernombor pendaftaran CCE 5997,” katanya, hari ini.
Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung keberadaan lelaki tersebut diminta berhubung dengan balai polis yang berdekatan. – MalaysiaGazette