KUANTAN – Tepat jam 9 pagi tadi, lebih 30 individu mula kelihatan berbaris di tapak lama Hentian Bas Pokok Buluh, di Jalan Mahkota, di sini bagi mendapatkan sarapan percuma.
Mereka sedang mendapatkan pek makanan dan minuman yang diagihkan sekumpulan sukarelawan.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, aktiviti yang dinamakan sebagai projek ‘Breakfast For Free’ (BFF) itu diadakan pada setiap pagi Jumaat.
Pengasas projek itu, Noordeyana Mohd Rashdi, 41, berkata, projek terbabit telah dimulakan sejak 12 tahun lalu dengan hanya 20 bungkus nasi lemak yang dimasak sendiri.
“Pada awalnya hanya saya dan suami yang memulakan projek ini atas nasihat seorang guru yang mengatakan jika kita beri orang makan, maka kita dipermudahkan segala urusan, rezeki melimpah ruah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Ibu kepada empat anak itu mengakui pada awalnya agak kekok untuk mengagihkan makanan kepada orang ramai di situ selepas ada yang takut-takut untuk menerimanya.
“Kemudian kita tukar kepada istilah ‘hadiah hari Jumaat’ dan sekarang alhamdulillahh sehingga sekarang ramai yang tunggu di sini.
“Kebanyakan daripada mereka adalah penghuni bilik sewa, ada yang mungkin susah, ada juga yang dalam perjalanan nak pergi bekerja. Jadi, jimat duit untuk makan pagi, dah ada makanan,” jelas Noordeyana lagi.
Mengulas lanjut, dia berkata, konsep BFF ini dijalankan menerusi Projek Jalinan Kasih yang menggunakan konsep santai.
Niatnya mahu menyebarkan kasih sayang dan kegembiraan dalam berkongsi rezeki kemudian mendapat perhatian ramai menerusi media sosial yang akhirnya menarik lebih ramai individu untuk turut serta memberi sumbangan.
Bekas pesakit Kanser Payudara, Aidah Mustafa, 57, antara sukarelawan terbaru turut serta dalam projek berkenaan.
Penyertaan Aidah dalam projek itu kira-kira tiga bulan lalu memberi ruang kepadanya untuk bersedekah atas nama rakan-rakan pejuang kanser yang telah meninggal dunia.
“Dalam masa sama, aktiviti ini mengubat kesunyian saya yang kehilangan rakan baik baru-baru ini akibat kanser.
“Lagi satu, bila tengok orang-orang yang datang ambil makanan ni. Kita rasa nasib kita malang. Tapi ada lagi yang lebih malang daripada kita. Mereka sanggup tunggu untuk ambil makanan,” katanya lagi.
Tinjauan MalaysiaGazette juga mendapati, bukan sahaja golongan gelandangan, malah mereka yang bekerja di kawasan sekitar juga tidak melepaskan peluang mendapatkan pek makanan berkenaan.
Salah seorang penerima yang ditemui, Rosli Sa’at, 55 yang menetap di Bukit Setongkol berkata, dia singgah di sini sebelum ke Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, berhampiran sini untuk solat Jumaat nanti.
“Dah lama program ni. Setiap jumaat saya datang. Ada orang memberi, kita datang la. Selalu saya datang dengan isteri, tapi hari ni sorang. Alang-alang hari Jumaat ni, saya tunggu untuk solat Jumaat terus lepas ni,” katanya. – MalaysiaGazette