KUALA LUMPUR – Intimidasi dan siasatan terhadap para aktivis masyarakat menunjukkan ruang sivil untuk rakyat semakin hari semakin ditekan dan disempitkan oleh para pengusaha.
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) berkata, pihaknya berdiri teguh bersama aktivis yang sedang menghadapi intimidasi kerana kebebasan bersuara dan berekspresi.
“Adakah ini semangat reformasi dan kebebasan yang dilaungkan oleh Kerajaan Madani? Adakah rakyat kini sudah tidak boleh berkarya dan menjadi kritikal terhadap kerajaan?
“Kerajaan Madani jangan pernah lupa bahawa rakyat yang menaikkan mereka ke puncak kekuasaan dan rakyat juga boleh merenggut semula kekuasaan itu,” kata Jawatankuasa Pemandu Bersih dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada 18 Disember lalu, media melaporkan polis Pulau Pinang melakukan intimidasi terhadap Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) yang menganjurkan pameran bertajuk Ruang Khas di Georgetown.
Pameran ini adalah untuk memberi kesedaran kepada orang awam terhadap penyalahgunaan kuasa polis.
Selain itu, pelukis grafik Fahmi Reza juga dipanggil oleh polis Bukit Aman untuk disoal siasat di bawah Akta Hasutan kerana lukisan satira pada 19 Disember. – MalaysiaGazette