Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju kadar rebat dan surcaj terhadap tarif elektrik berdasarkan mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) yang dikenakan kepada semua pengguna elektrik di Semenanjung dikekalkan bermula 1 Januari hingga 30 Jun 2025.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, dengan keputusan yang diambil pada 13 Disember lalu itu, jumlah subsidi elektrik yang akan dibiayai oleh kerajaan tempoh Januari hingga Jun 2025 sebanyak RM2.388 bilion.

Dalam kenyataan hari ini, kementerian berkata, ia percaya pelaksanaan subsidi elektrik secara bersasar merupakan pendekatan terbaik mengurangkan komitmen subsidi kerajaan agar peruntukan tersebut dapat disalurkan dalam pelbagai bentuk bantuan lain serta membolehkan kerajaan terus menambah baik infrastruktur awam, penjagaan kesihatan dan menyokong sektor pendidikan negara.

Kerajaan juga turut bersetuju dengan penetapan kadar purata tarif asas elektrik di Semenanjung bagi Tenaga Nasional Berhad (TNB) di bawah kerangka Pengawalselian Berasaskan Insentif (IBR) untuk tempoh Regulatori Keempat (RP4) bermula pada 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2027.

Sehubungan perkara ini, kerajaan melalui Suruhanjaya Tenaga (ST) sedang memuktamadkan cadangan jadual tarif baharu yang mencerminkan kos pembekalan elektrik sebenar dan lebih kompetitif.

Di samping itu mengekalkan keseimbangan trilema tenaga dan jadual tarif baharu ini dicadang untuk dilaksanakan bermula pada 1 Julai 2025 dengan melibatkan implikasi kewangan yang dianggarkan sebanyak RM3,570 juta yang akan dibiayai oleh kerajaan.

Selain itu, kerajaan terus kekal komited untuk memastikan kebajikan golongan berpendapatan rendah terpelihara melalui Program Rebat Elektrik RM40 untuk pengguna elektrik dalam kategori Miskin Tegar yang berdaftar dan disahkan dalam Sistem e-Kasih di seluruh Malaysia pada tahun 2025 dengan peruntukan sebanyak RM55 juta.

Pengguna yang layak boleh membuat semakan status kelayakan masing-masing di laman sesawang https://semakanrebat.petra.gov.my/apps/public/index.php atau hadir ke kedai utiliti yang berhampiran.

Pengguna juga boleh melihat jumlah subsidi elektrik yang diberikan oleh kerajaan di dalam bil elektrik bulanan masing-masing.

Katanya, kerajaan berharap agar pengekalan tarif elektrik bagi tempoh tersebut akan menjamin pemain-pemain industri memastikan kestabilan harga barangan di pasaran dan menyokong usaha kerajaan untuk menggalakkan pelaburan di Malaysia sekali gus meningkatkan peluang pekerjaan kepada rakyat dan merancakkan ekonomi negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast