KUANTAN – Seramai 60 pelajar Malaysia yang sedang melanjutkan pengajian di Beijing, China dapat durian runtuh apabila menerima sumbangan sebanyak 500 yuan daripada Yayasan Pahang.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bantuan kepada kluster siswa itu disampaikan kepada pelajar luar dari Pahang ketika beliau mengadakan lawatan kerja di negara tersebut semalam.
”Alhamdulillah, anak-anak kita di Beijing dalam keadaan baik dan sihat serta bersemangat untuk meneruskan pembelajaran,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurut Wan Rosdy, beliau berkesempatan untuk berkongsi maklumat mengenai keadaan yang berlaku di tanah air dan mengharapkan mereka mendapatkan maklumat yang betul menerusi saluran yang sahih dan tepat.
Wan Rosdy sempat menitipkan pesanan agar pelajar belajar dengan bersungguh-sungguh dan pulang semula ke tanah air untuk berkhidmat untuk pembangunan negara apabila menamatkan pengajian nanti.
Selain itu delegasi Pahang juga mengadakan lawatan Ke Beijing Industry Institute juga bagi melihat potensi kerjasama antara Pahang dalam industri Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di China.
Wan Rosdy kini dalam rangka lawatan kerja ke negara China sejak Rabu lalu juga mengadakan pertemuan dengan pengurusan China Harbour Engineering Company Ltd (CHEC).
Difahamkan syarikat tersebut terlibat dalam pembangunan beberapa projek mega di Pahang antaranya Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan pembesaran Pelabuhan Kuantan. – MalaysiaGazette