Editor Malaysia Gazette, Radzuan Hassan (dua kiri) dan Wartawan Eksekutif Malaysia Gazette, Mohd Zaini Samsu Hadi (kiri) berswafoto bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) selepas selesai sidang media bersama Bahagian Media dan Komunikasi Strategik, Pejabat Perdana Menteri di Grand Ballroom, Dorsett Grand, Subang Jaya, Selangor. Foto HARI ANGGARA, 21 DISEMBER 2024.

SUBANG JAYA – Kerajaan Madani yakin mempunyai kelebihan untuk memenangi pilihan raya umum (PRU) sekiranya ia diadakan hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penilaian itu dibuat berdasarkan kerangka pentadbirannya yang mementingkan aspek pengurusan ekonomi.

Katanya, ia mengkhusus kepada langkah membantu kelompok sasar membabitkan kenaikan gaji selain isu tatakelola dan rasuah.

“Kalau ada pilihan raya umum (PRU) sekarang, saya lebih yakin menang… dengan sokongan penjawat awam yang kita sudah bantu dalam aspek kenaikan gaji.

“Ia memerlukan usaha yang tinggi untuk meletakkan agenda ekonomi pada situasi sekarang,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar juga yakin prestasi kerajaan Madani termasuk Jemaah Kabinet masih boleh diperbaiki.

Beliau turut mengakui ada prestasi barisan menterinya yang cemerlang namun ada juga yang masih berada di tahap sederhana.

“Adakah saya berpuas hati? Saya cuba sedaya upaya tetapi, masih ada ruang untuk diperbaiki. Apakah saya berpuas hati dengan menteri? Ada yang cemerlang, ada yang sederhana, sama juga dengan Perdana Menteri,” katanya.

Selain itu, Anwar menegaskan tidak akan berkompromi dengan sebarang kes salah guna kuasa dalam kalangan menteri Kabinet.

Dalam pentadbiran kerajaan Madani yang sudah memasuki tempoh dua tahun ini, antara amalan lama yang tidak diizinkan berlaku iaitu membabitkan rundingan terus projek ataupun ‘kecurian’ komisen, katanya.

“Ia bukan sahaja soal menteri namun juga pegawai dan ke bawah, soal tatakelola dan pengurusan yang cermat. Ada kes lama yang boleh diselesaikan dan ada sebahagian yang belum selesai.

“Dua tahun lalu, ada kes Perdana Menteri mengambil dana untuk kepentingan peribadi dan keluarga… kepentingan syarikat berbilion-bilion. Kalau kita kekang dan perlu diperbaiki, langkah itu kita ambil,” tambahnya.

Anwar turut memaklumkan, pihaknya masih perlu menghormati proses undang-undang walaupun mengakui wujudnya aspek penguatkuasaan yang agak perlahan dalam kes tertentu.

Katanya lagi, beliau turut membiarkan badan kehakiman kekal bebas, walaupun ada keputusan dalam kes tertentu yang beliau sendiri tidak bersetuju dengannya.

“Saya rasa pelik soal tokoh politik yang lantang di Parlimen pertahankan rasuah, kerana dia sudah tua dan ia kes lama… bagi saya penguatkuasaan agak perlahan. Saya juga tidak sabar, mengapa lambat sangat atau remeh sangat.

“Tapi ini proses yang kita perlu hormati. Kalau kebebasan badan kehakiman, itu bebas… kita setuju atau tidak setuju itu soal lain. Apakah saudara ingat saya setuju semua? Tidak, tetapi kita perlu hormat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here