SUBANG JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dan bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra dalam masa terdekat.
Beliau berkata, perjumpaan dengan dua tokoh penting itu akan dibuat pada Isnin dan Khamis ini.
Katanya, pertemuan empat mata dengan Prabowo pada 23 Disember itu akan melibatkan perbincangan dua hala dan peranan Malaysia sebagai Kepengerusian ASEAN 2025.
“Manakala, pertemuan dengan Thaksin yang juga penasihat tidak rasmi adalah untuk membantu Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun depan.
“Saya akan berjumpa dengannya dan berbincang tentang peranannya secara teliti kerana beliau mempunyai kekuatan daripada segi hubungan baiknya dengan beberapa pemimpin ASEAN dan pengalamannya yang luas,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Pada 16 Disember lalu, Perdana Menteri memaklumkan, Thaksin dilantik sebagai anggota kumpulan penasihat tidak formal kepada Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
Beliau berkata, pelantikan itu bagi membolehkan tokoh pemimpin berkenaan berkongsi kepakaran serta idea kepada Pengerusi ASEAN berkenaan isu-isu ASEAN dan serantau.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, Thaksin mempunyai pengalaman, khasnya membantu dalam menyelaras isu Myanmar.
Beliau menyifatkan penglibatan Thaksin sebagai penasihat sebagai satu pakatan yang strategik.
“Tetapi kedudukan beliau adalah sebagai penasihat bersama pasukannya kepada saya sebagai Pengerusi ASEAN dan ia tidak struktur formal ASEAN,” tambah Anwar.
Malaysia menerima tugas sebagai Pengerusi ASEAN bagi 2025, daripada Laos.
Ini kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN sepanjang sejarah keanggotaan dalam blok serantau itu iaitu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015. – MalaysiaGazette