KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyeru agar semua pihak memberikan ruang untuk siasatan menyeluruh dilaksanakan terhadap insiden seorang pensyarah Universiti Malaya (UM) yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadap penuntutnya, baru-baru ini.
“Kementerian dan pihak UM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbukti bersalah melakukan pelanggaran undang-undang dan tindakan tatatertib yang tegas akan diambil,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan, hari ini.
Kenyataan satu muka surat itu merujuk kepada kenyataan UM yang mengesahkan menerima laporan kes gangguan seksual yang didakwa melibatkan seorang profesor di universiti berkenaan.
UM berkata, pihaknya bagaimanapun tidak dapat mengulas lanjut mengenai perkara itu dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.
Dalam kenyataan sama, KPT berkata, pihak universiti juga tidak pernah mengambil ringan laporan sebegini.
“Kementerian dimaklumkan isu ini telah ditangani secara rasmi sejak tarikh aduan diterima, dan Unit Integriti UM sedang menjalankan siasatan secara aktif.
“Semua prosedur serta peraturan berkaitan dipatuhi sepenuhnya. UM juga mempunyai garis panduan dan peraturan khusus berhubung isu gangguan seksual, dan langkah-langkah yang sewajarnya sedang diambil untuk melindungi hak semua pihak,” kata KPT.
Kementerian itu berkata, sebarang tindakan yang diambil mestilah selaras dengan undang-undang sedia ada, kerana langkah yang melanggar tatacara perundangan akan mencabuli proses siasatan yang sedang berlangsung.
Terdahulu, media melaporkan Kelab Feminisme UM (UMFC) menggesa pengurusan UM memperketatkan polisi gangguan seksual susulan dakwaan seorang profesor yang berkongsi gambar bogelnya kepada pelajar.
Menurut UMFC, walaupun laporan telah dibuat namun pelaku seolah-olah kebal daripada sebarang tindakan. – MalaysiaGazette