KUALA LUMPUR – Dua kumpulan penyokong bola sepak bergaduh di stesen LRT Tasik Selatan, di sini, awal pagi ini selepas dipercayai menonton perlawanan antara Malaysia dan Singapura.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, pihaknya menerima laporan mengenai insiden tersebut kira-kira jam 12 tengah malam daripada seorang anggota polis yang menaiki lrt dari Stesen Bukit Jalil menuju ke Stesen Sentul Timur.
Katanya, ketika tren tiba di Stesen Bandar Tasik Selatan terdapat satu kumpulan penyokong bola sepak keluar dari tren dan berlaku pertengkaran di antara penyokong kumpulan lain menyebabkan pergaduhan berlaku.
“Kemudian dua kumpulan penyokong bola sepak anggaran 20 hingga 30 orang bertindak agresif bertumbuk antara satu sama lain, membaling tong sampah, penghadang pintu lif ke arah tren serta menendang pintu tren mengakibatkan ada kerosakan di bahagian pintu cermin tren dan menyebabkan tren terhenti lebih kurang 8 minit,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurut Aidil, anggota polis berkenaan bersama anggota bertugas bertindak meleraikan pergaduhan yang berlaku di antara dua kumpulan itu dan keadaan menjadi terkawal setelah pintu tren tutup dan beredar dari tempat kejadian.
Tambah beliau, polis bantuan bersama anggota bertugas mengiring penyokong tersebut keluar dari Stesen Bandar Tasik Selatan dengan selamat.
Aidil berkata, setakat ini belum ada tangkapan dilakukan dan mereka yang terlibat dalam pergaduhan itu diminta tampil membantu siasatan. – MalaysiaGazette