JOHOR BAHRU – Seorang ejen hartanah rugi RM85,000 selepas terpedaya dalam pelaburan pembinaan projek hotel di Pattaya, Thailand yang tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, lelaki tempatan berusia 37 tahun itu diperdaya dalam bentuk matawang kripto jenis tether (USDT) sebanyak 20,000 unit USDT bersamaan lebih kurang RM85,000.
Menurut beliau, semuanya bermula pada Mac lalu selepas mangsa ditawarkan pelaburan itu secara bersemuka dengan dua lelaki warga asing berumur antara 35 hingga 39 tahun, untuk pembinaan projek hotel di Pattaya Thailand.
“Mangsa telah berminat kerana dijanjikan akan memiliki saham pemilikan sebanyak satu peratus, yang mana bersamaan dengan AS$10,000.
“Pada 8 julai lalu, mangsa telah berminat dan memindahkan matawang kripto sebanyak 20,000 USDT ke pemilik akaun lain, milik suspek bagi tujuan itu
“Walau bagaimanapun mangsa tidak mendapat sebarang pulangan dan keuntungan pelaburan selepas pembuat pembayaran terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Raub berkata, pihaknya juga menerima laporan polis berkaitan pelaburan tidak wujud dari seorang pendandan rambut yang diperdaya membabitkan kerugian lebih RM20,750.
Katanya, wanita berusia 48 tahun itu menerima mesej melalui WhatsApp daripada individu tidak dikenali yang memperkenalkan pelaburan saham dengan keuntungan cepat.
“Mangsa telah memberikan butiran peribadi dan nombor akaun bank kepada suspek bagi membuka akaun pelaburan.
“Pada 27 November hingga 12 Disember lalu, mangsa membuat tujuh transaksi bayaran ke lima akaun bank tempatan.
“Bagaimanapun selepas bayaran dibuat, suspek menyekat panggilan mangsa, menyebabkan mangsa gagal mendapatkan semula wangnya,” katanya.
Tambahnya, kedua-dua kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.- MalaysiaGazette