JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menyelamatkan dua kanak-kanak warganegara Filipina dalam operasi Ops Mahir di sebuah kilang pembuatan barangan di Senai, di sini, kelmarin.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi pada pukul 6.54 petang itu melibatkan sepasukan pegawai daripada Unit Tindakan, Bahagian Penguatkuasa, 20 Pegawai Pejabat Bangunan Sultan Iskandar dan empat pegawai dari Jabatan Pendaftaran Negara Negeri (JPN) Johor.
“Tindakan penguatkuasaan ini diambil ekoran maklumat yang diterima berkenaan sebuah kilang menggaji pekerja asing yang disyaki tidak memiliki dokumen yang sah dan penyalahgunaan pas/permit.
“Hasil pemeriksaan dokumen perjalanan dan dokumen pengenalan diri terhadap 292 pekerja warga asing dan warga tempatan, seramai dua kanak-kanak bawah umur didapati bekerja di premis tersebut.
“Mangsa adalah seorang kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan masing-masing berumur 12 tahun dan 13 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kedua-dua mangsa diselamatkan dan ditahan sebelum dibawa ke Bahagian Penguatkuasa Pejabat Imigresen Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Setia Tropika di sini untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, siasatan mendapati dua kanak-kanak tersebut sudah dua hingga tiga bulan bekerja di kilang berkenaan.
Selain itu ujarnya , seorang lelaki warga tempatan berusia 44 tahun yang merupakan pegawai sumber manusia di kilang tersebut ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).
Mohd Rusdi berkata, JIM akan terus komited membanteras sindiket penyeludupan manusia dalam menguatkuasakan undang-undang bagi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.
Tindakan tegas katanya , akan dikenakan ke atas mana-mana pihak yang melakukan kesalahan Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007. – MalaysiaGazette