JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor memberkas dua lelaki warga Bangladesh yang disyaki terlibat sindiket penyeludupan migran dalam Ops Serkap di sebuah pangsapuri di Larkin Indah, di sini, kelmarin.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, kedua-dua suspek masing-masing berusia 37 dan 46 tahun ditahan di pangsapuri berkenaan yang dijadikan sebagai rumah transit sindiket penyeludupan terbabit pada pukul 2.30 petang.
“Mereka bertugas sebagai penjaga rumah transit dan pemudahcara kepada mangsa-mangsa penyeludupan yang dibawa masuk ke Malaysia.
“Tindakan penguatkuasaan ini diambil susulan operasi dan tangkapan sebelum ini terhadap seorang lelaki warganegara Bangladesh yang dipercayai diseludup masuk ke Malaysia melalui pintu masuk Kompleks Sultan Abu Bakar, Johor Bahru.
“Siasatan awal yang dijalankan seterusnya membawa kepada serbuan ke atas sebuah pangsapuri yang dijadikan rumah transit warganegara Bangladesh,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Mohd Rusdi berkata, beberapa naskah pasport warganegara Bangladesh dan wang tunai berjumlah RM14,500 dirampas serta sebuah kenderaan turut disita.
Katanya, hasil siasatan juga mendapati juga mendapati aktiviti penyeludupan warganegara Bangladesh ke Malaysia ini dipercayai telah dijalankan sejak dua bulan lalu.
Ujarnya, sindiket terbabit mengenakan bayaran sebanyak RM13,000 seorang bermula dari negara Bangladesh ke Malaysia melalui Singapura.
Tambah beliau, kedua-dua suspek yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) dan di bawah Akta Pasport 1966 (Akta 150). – MalaysiaGazette