BEIRUT – Tentera Israel gagal memintas sebuah peluru berpandu menyasarkan Tel Aviv yang dilancarkan dari Yemen menyebabkan kerosakan teruk, kebakaran dan beberapa orang cedera di lokasi kejadian.
Media Israel yang memetik sumber kesihatan menyatakan sekurang-kurangnya 11 penceroboh Israel cedera berikutan serangan peluru berpandu itu.
Walaupun siren dibunyikan dari Tel Aviv hingga ke selatan Ashdod, kedua-dua sistem pertahanan Iron Dome dan David’s Sling dilaporkan tidak berupaya untuk memintas peluru berpandu tersebut.
Polis Israel mengesahkan mengenai impak peluru berpandu tersebut di Tel Aviv dan menyatakan terdapat kerosakan berlaku di kawasan tersebut.
Katanya, siasatan akan dilancarkan bagi memastikan punca kegagalan untuk memintas peluru berpandu berkenaan.
Sementara itu, berpuluh ribu penduduk Yemen mengadakan demonstrasi di seluruh negara semalam bagi menyatakan sokongan mereka terhadap penduduk Palestin dan operasi kumpulan Houthi.
Bantahan tersebut dilakukan sehari selepas pesawat Israel menyerang kemudahan tenaga dan infrastruktur lain di bandar pelabuhan Hodeibah dan ibu negara, Sanaa. – Agensi