Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban.

KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan untuk menyelaraskan pelanjutan kemudahan pengecualian visa kepada warganegara India sehingga 31 Disember 2026 disambut baik Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban, JIM menyokong pelakasanaan itu dengan mempertingkatkan aspek kawalan dan penguatkuasaan yang telah dilaksanakan seperti mana ketika awal pelaksanaannya pada tahun 2023.

“Antara bentuk kawalan dan penguatkuasaan yang dilaksanakan adalah pasukan khas pemantau pergerakan keluar pelawat China dan India, aktiviti naziran di kawasan tumpuan warga asing, prosedur ketat Notis Penolakan Masuk dan pematuhan pengisian Malaysia Digital Arrival Card (MDAC).

“Di samping itu, proses kemasukan masih mengekalkan semakan keselamatan di mana pelawat perlu mengemukakan tiket pulang dan bukti penginapan seperti butiran tempahan hotel yang sah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Awang Alik Jeman berkata, kerajaan akan melanjutkan pengecualian visa bagi warga negara India sehingga 31 Disember 2026.

Beliau berkata, perkara itu susulan kepengerusian Malaysia bagi ASEAN 2025 dan persediaan kepada Tahun Melawat Malaysia 2026.

Zakaria berkata, kemudahan pengecualian visa sebelum ini dilaksanakan bermula 1 Disember 2023 sehingga 31 Disember 2024 di bawah Program Liberalisasi Visa.

Beliau berkata, ia bertujuan untuk meningkatkan sektor ekonomi dan pelancongan di Malaysia tanpa berkompromi terhadap aspek keselamatan negara.

“Sepanjang tempoh pengecualian dilaksanakan, pihak imigresen telah merekodkan kemasukan pelawat dari India seramai 916,821 orang.

“Inisiatif kemudahan pengecualian visa ini telah meningkatkan jumlah kemasukan pelawat India sebanyak 223 peratus berbanding 283,885 pelawat pada 2023,” katanya dalam satu kenyataan.

Zakaria berkata, peningkatan tersebut telah memberi rangsangan kepada industri perniagaan di negara ini.

Jelas beliau, kemasukan pelancong bukan sahaja akan menjana pendapatan tetapi mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan.

Menurutnya, bagi menyokong pelaksanaan inisiatif itu, JIM akan mempertingkatkan aspek kawalan dan penguatkuasaan yang telah dilaksanakan sepertimana ketika awal pelaksanaannya pada 2023. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here