Mohamad memakai vest sebagai simbolik pelancaran jawatankuasa bencana selepas merasmikan Konvensyen Parti Amanah Negara (Amanah) Johor di Pulai Springs Resort, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Malaysia tidak akan berdepan isu kekurangan bekalan meskipun berdepan perang atau cabaran banjir ketika ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kekurangan bekalan itu boleh ditampung menerusi hasil kerjasama antara negara ASEAN untuk mengimport makanan itu.

Beliau memberitahu, Malaysia berada pada kedudukan kedua di belakang Singapura daripada segi keterjaminan makanan merujuk kepada Food and Agriculture Organization (FAO).

“Dalam negara Asia ini, nombor satu keterjaminan makanan ukuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ialah Singapura, kita jatuh nombor dua. Singapura bukan ada apa-apa tanaman mereka.

“Di mana dia dapat ayam? Dia melabur di Johor, di mana dia dapat padi? tentulah dia ada kerjasama di Vietnam ataupun Thailand. Mana dia dapat daging dan sebagainya? tentulah ada kerjasama dengan Australia.

“Kita sekarang pun perlu begitu dan tidak boleh lagi bergerak secara solo. InsyaAllah, sama ada sesama ASEAN (jalin kerjasama),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Parti Amanah Negara (Amanah) Johor di Pulai Springs Resort, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan dan Timbalannya, Dzulkefly Ahmad.

Mohamad yang juga Presiden Amanah berkata, sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjumpa dengan rakan sejawatanya di India dan bersetuju untuk memberi 200,000 ton beras putih.

Bukan itu sahaja, kata beliau, harganya dapat diturunkan sedikit daripada RM3,000 satu tan metrik kepada RM2,800.

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi menjamin sekuriti makanan, kerajaan perlu berusaha untuk membuka jelapang ketiga dan keempat iaitu di Sarawak dan di Sabah.

“Alhamdulillah, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ambil berat isu ini dan memperuntukkan RM500 juta untuk membangunkan saliran bagi fasa pertama ini.

“Premier Sarawak turut memberitahu dalam masa 10 tahun lagi Sarawak mampu mengeksport beras,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here