KUANTAN – Mayat seorang lelaki berusia 55 tahun ditemukan dalam kereta di kawasan parkir sebuah restoran nasi kerabu terkenal di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mayat mangsa yang sudah membengkak itu ditemui berpakaian lengkap dalam kereta Perodua Viva warna biru gelap yang diparkir lebih kurang seminggu oleh dijumpai pekerja restoran berkenaan.
Hasil siasatan mendapati pengadu telah membuat pemeriksaan dan telah terhidu bau busuk dari dalam kereta dan setelah meninjau melalui cermin hadapan mendapati seorang lelaki tidak sedarkan diri.
”Susulan itu pengadu telah menghubungi talian MERS 999 bagi mendapatkan bantuan pada pukul 4.41 petang.
”Pada pukul 7.30 malam, sepasukan anggota dari jabatan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang sampai di lokasi kejadian bagi membuat pemeriksaan terhadap fizikal mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Wan Mohd Zahari, pemeriksaan yangg dijalankan telah menemui kad pengenalan atas nama Safri Mohd Ali dan sebuah telefon bimbit beserta satu beg galas.
Manakala hasil semakan lanjut mendapati mangsa merupakan orang hilang yang sedang dicari selepas keluar rumah pada 13 Disember lalu.
Wan Zahari memakluman sesi pengecaman oleh ahli keluarga telah dijalankan di Jabatan Forensik HTAA dan mengesahkan bahawa mangsa merupakan adalah orang hilang yang sedang dicari. – MalaysiaGazette