MELAKA – Melaka akan terus memperkasakan kepelbagaian produk halal bukan sahaja dalam sektor makanan malah meliputi pelbagai bidang lain.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ia merangkumi pelancongan, perindustrian, kesihatan dan pelbagai lagi yang boleh dijenamakan sebagai produk halal.
“Kalau kita lihat industri halal kini semakin berkembang dan mendapat permintaan di seluruh dunia, sebab itu Melaka sebagai sebuah negeri pelancongan perlu rebut peluang ini.
“Seperti yang semua tahu, kapal persiaran Genting Dreams telah pun memulakan produk halal di kapal persiaran tersebut menyebabkan ia kini menjadi pilihan ramai pelancong yang beragama Islam untuk menikmati pelayaran hebat tersebut yang juga singgah ke Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Festival Halal Antarabangsa Melaka 2024 (MIHF’24) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ab Rauf turut menyifatkan MIHF’24 yang dianjurkan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menerusi MAIM Holdings itu sangat berjaya dalam memperkenalkan Melaka sebagai antara hab halal dunia.
Terdahulu dalam ucapannya Ab Rauf pemerkasaan industri halal juga seiring dalam merealisasikan sasaran pasaran produk dan perkhidmatan halal negara untuk menjangkau RM22 trilion (AS$5 trilion) menjelang tahun 2030.
“Melaka juga mempunyai syarikat industri halal pertama beroperasi di Malaysia iaitu Melaka Halal Hab bertujuan membantu pembangunan usahawan Industri Kecil Sederhana (IKS) negeri dan memantau pengeluaran barangan halal.
“Kita merekodkan lebih 300 syarikat dan produk halal yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), jika dibandingkan pada awal dekad yang lalu di mana Melaka hanya memiliki beberapa puluh perniagaan halal sahaja.
MIHF’24 yang diadakan selama tiga hari sehingga esok menyaksikan lebih 250 pemain industri halal dihimpunkan daripada pelbagai bidang termasuklah penyertaan lebih 10 negara luar antaranya Emiriah Arab Bersatu (UAE), Indonesia, Iran dan Singapura.
Program itu juga memperkenalkan sudut Kampung Dalam Kota yang menawarkan pelbagai jualan melibatkan lebih 70 peniaga di samping lebih 30 syarikat di bawah industri pelancongan halal. – MalaysiaGazette