KOTA TINGGI – Seorang peneroka warga emas rugi lebih RM100,000 selepas terperdaya dengan pelaburan saham yang tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima laporan dibuat lelaki warga tempatan berusia 73 tahun itu semalam yang mendakwa menjadi mangsa penipuan pelaburan saham tidak wujud.
“Mangsa kerugian sebanyak RM107,296.18 selepas melakukan 15 transaksi pemindahan wang ke dalam sembilan akaun atas nama penerima yang berbeza.
“Kejadian bermula sekitar Oktober 2023, apabila mangsa melihat sebuah iklan mengenai pelaburan saham secara Islamik dalam Facebook yang diiklankan oleh Crasping Silver.
“Oleh kerana mangsa berminat untuk membuat pelaburan, mangsa telah menghantar mesej ke akaun Facebook berkenaan untuk bertanyakan berkaitan pelaburan ini.
“Suspek yang juga seorang wanita tempatan telah menerangkan kepada mangsa berkaitan pelaburan ini melalui aplikasi Whatsapp,” katanya dalam kenyataan akhbar.
Menurut beliau, suspek memberitahu, antara syarat untuk melabur, mangsa perlu mendaftar sebagai ahli terlebih dahulu.
Katanya, selepas membuat pendaftaran dan menjadi ahli kumpulan pelaburan Crasping Silver, mangsa telah membuat pembayaran secara berperingkat selama setahun bermula Oktober 2023 hingga Oktober lalu.
“Sepanjang tempoh mangsa membuat pelaburan ini, mangsa tidak mendapat apa-apa keuntungan.
“Hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati mangsa tertarik dengan keuntungan berlipat ganda yang dijanjikan suspek,” katanya.
Yusof berkata, tarikh terakhir mangsa membuat pembayaran adalah pada 24 Oktober lalu dan selepas itu mangsa gagal menghubungi saspek sekali gus merasakan telah ditipu suspek.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” jelasnya.
Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dan berhati-hati serta tidak mudah percaya dengan sindiket pelaburan yang menawarkan keuntungan berlipat ganda. – MalaysiaGazette