JOHOR BAHRU – Sebarang perbincangan mengenai pembahagian kerusi atau kerjasama Parti Amanah Negara (Amanah) Johor dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu dilakukan secara menang-menang.
Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perbincangan tersebut dibawa ke peringkat tertinggi bagi mencari penyelesaian terbaik.
“Itulah yang sentiasa kita lakukan. Memanglah dalam mana-mana parti politik, komponen (perkara) paling tough (mencabar) dilakukan adalah pembahagian kerusi.
“Itu kita akan cuba cari jalan yang terbaik. Memanglah dia akan sampai (mencari penyelesaian) ke peringkat situasi menang menang.
“Kita tidak mahu menang dalam pembahagian kerusi tetapi kalah dalam pilihan raya, itu yang kita nak elakkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Amanah Johor 2024 di Pulai Spring Resort, di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan dan Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, semua pihak sama ada di peringkat negeri atau Pemuda boleh mendesak permintaan tersebut namun keputusan terakhir nanti akan ditentukan di peringkat nasional.
Tambah beliau, masing-masing boleh mengutarakan pandangan berkenaan perkara tersebut.
Ditanya mengenai perbincangan dua kerusi tersebut, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, pihaknya masih belum berbincang mengenai perkara tersebut.
“Belum bincang lagi. Nak cakap (mengenai pembahagian kerusi) itu boleh. Keputusan belum dibuat,” ujarnya yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Pada 12 Disember lalu, Dzulkefly membangkitkan isu kerusi Parlimen Muar dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa milik Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan mencadangkan supaya diserahkan kepada PH untuk ditandingi pada pilihan raya akan datang.
Dzulkefly berkata, pemberian kedua-dua kerusi terbabit dirasakan tepat kerana sebelum ini kerusi berkenaan dikosongkan untuk diberikan laluan kepada MUDA.
Menurut beliau, ketika itu MUDA merupakan rakan sekutu politik semasa PRU lalu dan PRN yang berlangsung sebelum ini.
Sebelum ini, Amanah Johor dilaporkan kerap menuntut penubuhan segera kerajaan Perpaduan di negeri itu sebagai menyahut seruan penubuhan kerajaan di peringkat Pusat.
Gesaan dibuat agar wakil parti itu serta PH perlu menjadi sebahagian kepimpinan kerajaan negeri, sungguhpun BN kini mendominasi dengan 40 kerusi DUN.
Pada PRN Johor Mac 2022, BN memperoleh kemenangan dua pertiga dengan memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.
PH pula memenangi 13 kerusi dengan DAP memperoleh 10 kerusi manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR), Amanah dan MUDA masing-masing satu kerusi.
Perikatan Nasional (PN) pula hanya memenangi tiga kerusi iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (dua) dan Pas (satu).- MalaysiaGazette