KUALA LUMPUR – Polis merampas sebanyak 669 laras senjata tiruan dalam dua operasi yang dilakukan secara berasingan di Kota Bharu, Kelantan dan Kuala Lumpur pada 17 dan 18 Disember lalu.
Selain daripada senjata api tiruaan, operasi melalui Wildlife Crime Bureau (Biro jenayah Hidupan Liar)/Risikan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) turut merampas hidupan liar dan ubat-ubatan tanpa kelulusan Kementerian Kesihtaan (KKM) dengan anggaran jumlah keseluruhan sebanyak RM426,971.
Pengarah JKDNKA, CP Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, operasi pertama yang dilaksanakan ke atas sebuah premis di Kota Bharu pada 17 Disember lalu melibatkan penjualan senjata tiruan dan penyimpanan hidupan liar tanpa permit.
“Operasi tersebut telah menahan seorang lelaki warga tempatan dan sebanyak 31 laras senjata tiruan telah dirampas,” katanya menerusi kenyataan sambil menambah kes disiasat di bawah Akta Senjata 1960.
Azmi berkata, siasatan awal mendapati suspek telah menjalankan perniagaan menjual senjata tiruan melalui platform dalam talian sejak beberapa bulan lalu.
Tambah beliau, pemeriksaan di premis tersebut menemukan dua ekor burung murai batu yang disimpan tanpa permit yang sah mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
Beliau berkata, pihaknya turut merampas beberapa kotak yang mengandungi ubat-ubatan tanpa kelulusan KKM dan kes disiasat di Bawah Peraturan Peraturan 1(a) Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Azmi berkata, operasi kedua yang dilaksanakan pada 18 Disember lalu untuk mengesan dan menangkap seorang lelaki warga tempatan dan dua lelaki warga asing membawa kepada rampasan 637 laras senjata tiruan dan kes di siasat di Bawah Akta Senjata 1960. – MalaysiaGazette