KUALA LUMPUR – Polis menyiasat pergaduhan antara dua kumpulan penyokong di Stesen LRT Bandar Tasik Selatan, Sungai Besi, di sini, awal pagi tadi seperti tular di laman media sosial.
Ketua Polis Kuala Lumpur, CP Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 147/427 Kanun Keseksaan.
“Pihak Polis mengesahkan telah menerima laporan polis berhubung satu video tular yang memaparkan kejadian pergaduhan di sebuah Stesen LRT Bandar Tasik Selatan, Sungai Besi, Kuala Lumpur,” katanya menerusi kenyataan.
Menurut Rusdi, kejadian berlaku pada jam 12.03 pagi ini membabitkan dua kumpulan penyokong bola sepak melibatkan 20 hingga 30 orang yang bertindak agresif.
Tambah beliau, mereka bertumbuk antara satu sama lain, membaling tong sampah, penghadang pintu lif ke arah tren, menendang pintu tren mengakibatkan kerosakan di bahagian pintu cermin tren hingga menyebabkan tren terhenti lebih kurang 8 minit.
Katanya, anggota polis bantuan yang berada di lokasi telah meleraikan pergaduhan tersebut.
“Pihak polis menasihati orang ramai agar tidak melibatkan diri dalam provokasi sehingga menyebabkan pergaduhan di kawasan awam,” ujarnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian ini diminta menyalurkannya dengan menghubungi talian Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan. – MalaysiaGazette
Dua kumpulan penyokong bola sepak bergaduh di stesen LRT Tasik Selatan