JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen (JIM) Johor melumpuhkan satu sindiket warga asing yang bekerja menggunakan kad pengenalan warga tempatan dalam serbuan di sebuah kilang di Senai, di sini, kelmarin.
Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, menerusi serbuan dalam Ops Mahir itu seramai 129 warga asing ditahan selepas didapati menggunakan dokumen pengenalan diri warga tempatan untuk memohon kerja.
“Lima lagi warga asing yang menggunakan kad pengenalan milik warga tempatan untuk bekerja di kilang berkenaan, turut berjaya dibongkar.
“Kejayaan penahanan kesemua warga asing berkenaan susulan risikan dua hari hasil maklumat yang diperolehi.
“Tindakan penguatkuasaan ini diambil susulan penahanan empat warga asing sebelum ini yang mengaku bekerja menggunakan identiti warga tempatan palsu di sebuah kilang di sini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, hasil maklumat daripada siasatan dilakukan membawa kepada risikan dua hari sebelum melakukan serbuan di kilang berkenaan.
Keseluruhannya ujar beliau, JIM menahan 74 lelaki dan 54 wanita warga asing selain seorang majikan warga tempatan, selepas seramai 292 warga asing dan warga tempatan diperiksa, dalam operasi berkenaan.
Mohd Rusdi berkata, semua mereka yang ditahan, disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Ujarnya, lima warga asing yang memiliki dan menggunakan kad pengenalan warga tempatan membabitkan tiga lelaki dan dua wanita.
“Jabatan Pendaftaran Negara Negeri Johor menahan lima warga asing itu yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan 25 Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 iaitu memiliki dan menggunakan kad pengenalan milik orang lain.
“Tahanan warga asing ditempatkan di Depoh Imigresen Pekan Nenas untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, JIM Johor akan terus memerangi dan tidak akan berkompromi dengan majikan, pemilik premis serta individu yang didapati menggaji serta melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).- MalaysiaGazette