PASIR GUDANG – Polis menahan tiga lelaki warga tempatan kerana disyaki mencuri wayar elektrik selepas memecah masuk sebuah kedai di Taman Bandar Baru, Kota Puteri di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, tiga lelaki itu diberkas selepas seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun membuat laporan kedainya dipecah masuk.
“Hasil pemeriksaan di tempat kejadian mendapati wayar elektrik telah dipotong dan dicuri.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Balai Polis Seri Alam dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam memberkas tiga lelaki berkenaan.
“Suspek yang berusia 35 hingga 51 tahun ditahan di kawasan Taman Megah Ria di sini pada pukul 6 petang semalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Polis turut merampas satu pemotong wayar, satu beg silang dan satu guni yang mengandungi beberapa gulung wayar pelbagai jenis warna.
Katanya, hasil semakan rekod lampau mendapati semua suspek mempunyai lebih daripada lima rekod jenayah dan dadah.
“Seorang daripada suspek adalah sepadan dengan cap jari di tempat kejadian serta mempunyai rekod orang yang dikehendaki,” ujarnya.
Mohd Sohami berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis Methamphetamine.
Siasatan dijalankan bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu pecah rumah bagi tujuan mencuri dan Seksyen 15(1)(a) kerana mengguna serta memasukkan dadah dalam badan.
Menurut beliau, perintah reman terhadap semua suspek dikenakan tujuh bari bermula hari ini sehingga 27 Disember ini.
Dalam pada itu, polis mengalu-alukan kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat sebarang aktiviti jenayah untuk diselurkan ke balai polis berhampiran atau pusat kawalan daerah Seri Alam 07-387 1422 atau hotline 07-386 1422.- MalaysiaGazette