ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz

MUAR – Wang hasil simpanan seorang pengurus kilang kayu RM159,000 lesap selepas gelap mata dengan tawaran pelaburan saham dengan pulangan lumayan dalam tempoh lima hari sahaja.

Tidak berfikir panjang dan ‘tergoda’ dengan tawaran tersebut, mangsa yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun mencuba nasib menyertai pelaburan tersebut.

Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, semuanya bermula apabila mangsa melayari satu Facebook dan terlibat satu iklan pelaburan pada 30 Oktober lalu.

“Pada hari yang sama mangsa telah menerima mesej melalui aplikasi Whatsapp daripada seorang wanita mengaku sebagai pembantu peribadi pelaburan.

“Mangsa telah diterangkan mengenai satu peluang yang menawarkan pulangan lumayan sehingga 30 peratus dalam masa lima hari bekerja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, mangsa telah diminta untuk mendaftar menggunakan satu pautan yang merupakan medium pelaburan berkenaan.

Disebabkan tertarik dengan paparan yang dilihat katanya, mangsa mendaftarkan diri dan melabur dalam pelaburan saham tersebut.

Seterusnya mangsa telah membuat lapan transaksi ke dalam lapan akaun bank berbeza berjumlah RM154,000 bermula 30 Oktober sehingga 12 Disember lalu, katanya.

“Sehingga laporan polis dibuat mangsa gagal mengeluarkan sebarang keuntungan seperti yang dijanjikan. Mangsa diminta untuk membuat pembayaran lagi namun enggan berbuat demikian kerana merasa ditipu.

“Sumber kewangan mangsa adalah hasil simpanannya,” ujarnya dan memberitahu kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Jelas beliau, jika sabit kesalahan boleh dipenjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dengan sebatan dan juga dikenakan denda.

Raiz Mukhliz menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berhati-hati terutama dalam urusan melibatkan transaksi.

“Sentiasa ikuti nasihat dalam laman sosial seperti Facebook, Instagram danTikTok Jabatan Jenayah Kormersil bagi mendapatkan maklumat modus operandi scammer bagi mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan,” tambahnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here