Ketua Pengarah APMM, Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah.

KUALA LUMPUR – Orang ramai digesa meningkatkan tahap keselamatan ketika melakukan aktiviti di laut sepanjang musim cuti sekolah dan perayaan Hari Natal yang bakal disambut penduduk beragama Kristian pada 25 Disember ini.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, mereka yang ingin melakukan aktiviti di laut diminta sentiasa memakai jaket keselamatan selain memastikan bot yang dinaiki berada dalam keadaan selamat.

Peringatan ini penting memandangkan cuaca yang tidak menentu pada penghujung tahun akibat Monsun Timur Laut, ujar beliau.

“Statistik yang dikeluarkan oleh Bahagian Carilamat dan Bantuan Bencana (BCLBB) Maritim Malaysia dari tahun 2006 hingga 20 Disember 2024 adalah sebanyak 3,275 kes dengan 16,420 mangsa terlibat insiden di laut telah direkodkan.

“Daripada jumlah mangsa tersebut, 1,643 mangsa telah dilaporkan meninggal dunia dan 777 mangsa masih diklasifikasikan sebagai hilang.

“Sementara itu statistik dari Januari hingga 20 Disember tahun ini telah merekodkan sebanyak 216 kes insiden di laut dengan 1,253 mangsa. Daripada jumlah tersebut, 62 orang dilaporkan meninggal dunia dan 26 orang dikategorikan hilang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Mohd Rosli mengingatkan pengendali bot penumpang untuk memastikan bot yang digunakan dalam keadaan baik serta menyediakan jaket keselamatan sebelum beroperasi, selain tidak membawa penumpang melebihi kapasiti yang ditetapkan.

Terdahulu beliau meminta kerjasama orang ramai untuk melaporkan aduan kecemasan di laut melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim yang terdekat untuk tindakan segera. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here