BERLIN – Seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun dan empat orang dewasa terbunuh selepas dirempuh sebuah kereta di pasar Krismas di bandar Magdeburg, Jerman timur.
Lebih 200 orang cedera dengan sekurang-kurangnya 41 kritikal dalam serangan pada petang Jumaat.
Kejadian berlaku selepas sebuah kenderaan sport utiliti BMW merempuh kawasan pasar yang sesak.
Suspek telah dinamakan dalam media tempatan sebagai Taleb al-Abdulmohsen, seorang warga Saudi berusia 50 tahun.
Dia menetap di Jerman pada 2006, pada 2016 diiktiraf sebagai pelarian dan pernah bekerja sebagai doktor.
Pendakwaraya Horst Walter Nopens berkata, siasatan sedang berjalan tetapi mencadangkan latar belakang jenayah itu “boleh jadi tidak puas hati dengan cara pelarian Arab Saudi dilayan di Jerman”.
Penyerang yang disyaki tidak mempunyai kaitan dengan ekstremisme Islam kerana platform media sosialnya menunjukkan dia telah mengkritik Islam.
Sumber yang rapat dengan Kerajaan Saudi memberitahu, ia pernah menghantar empat pemberitahuan rasmi yang dikenali sebagai “Notes Verbal” kepada pihak berkuasa Jerman, memberi amaran kepada tentang “pandangan yang sangat melampau” oleh al-Abdulmohsen.
Al-Abdulmohsen kini sedang disoal siasat dan pendakwa raya menjangkakan akan mendakwanya atas tuduhan membunuh dan cubaan membunuh dalam masa terdekat, kata ketua pejabat pendakwa raya.
Reiner Haseloff, perdana menteri negeri Saxony-Anhalt berkata, siasatan awal mencadangkan penyerang mungkin bertindak sendirian.
Pegawai bandar berkata, kira-kira 100 polis, pegawai perubatan dan bomba, serta 50 anggota perkhidmatan penyelamat, bergegas ke tempat kejadian skira-kira jam7 malam waktu tempatan pada hari Jumaat.
Al-Abdulmohsen dipercayai memandu ke pasar melalui pintu masuk yang dikhaskan untuk kenderaan kecemasan, kata polis.
Suspek adalah pakar psikiatri yang tinggal di Bernburg, sekitar 40 kilometer di selatan Magdeburg.
Dia membuka laman web yang bertujuan untuk membantu bekas Muslim lain melarikan diri dari penganiayaan di tanah air mereka.
Canselor Jerman, Olaf Scholz menyifatkan serangan itu sebagai “tragedi yang mengerikan” kerana “begitu ramai orang cedera dan terbunuh di tempat yang sepatutnya “menggembirakan”. – Agensi