KUANTAN – Sebanyak 443 notis saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Pahang dalam Operasi Khas Motosikal Bersepadu yang laksanakan di Plaza Tol Bentong sehingga petang semalam.
JPJ Pahang memaklumkan, jumlah kesalahan itu dikeluarkan hasil pemeriksaan bersama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong ke atas 2,606 buah motosikal di lokasi itu bermula jam 3.30 petang Jumaat lepas.
“Notis saman kepada penunggang motosikal yang tidak mempunyai lesen memandu (CDL) adalah paling banyak iaitu 93, kesalahan teknikal sebanyak 88 dan lesen kenderaan motor (cukai jalan) tamat tempoh pula sebanyak 60 saman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, notis turut dikeluarkan bagi kesalahan lain membabitkan tiada perlindungan insurans (44), nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi (32), tidak pamer plat P/L (31), tiada cermin sisi (9), lesen vokasional (GDL) 8 dan satu kes gagal pamer nombor pendaftaran.
Menerusi operasi yang dihadiri Timbalan Pengarah JPJ Pahang, Mohd Hasnor Kutik itu juga, sebanyak 29 kenderaan disita melibatkan motosikal, kereta dan lori. – MalaysiaGazette