KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan ekoran lekukan tropika yang dijangka berlaku di kawasan itu.
Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr. Mohd Hisham Mohd Anip berkata, sistem tekanan rendah yang terbentuk di perairan Sarawak sejak 20 Disember 2024 dijangka berkembang menjadi lekukan tropika dalam tempoh 24 hingga 48 jam akan datang.
“Sistem ini diramalkan bergerak ke utara menuju ke kawasan tengah Laut China Selatan dengan potensi membawa impak cuaca buruk kepada kawasan terlibat.
“Luruan monsun yang sedang aktif dijangka berterusan sehingga 24 Disember 2024, mengakibatkan risiko hujan lebat berpanjangan, angin kencang, dan laut bergelora,” katanya dalam satu kenyataan.
MetMalaysia telah mengemas kini amaran hujan berterusan kategori buruk dan waspada yang berkuat kuasa sehingga 22 Disember 2024 untuk kawasan yang terjejas.
Selain itu, amaran angin kencang dan laut bergelora turut dikeluarkan sehingga 24 Disember 2024.
“Orang awam digalakkan merujuk laman web rasmi MetMalaysia di www.met.gov.my dan mengikuti media sosial rasmi serta memuat turun Aplikasi myCuaca untuk akses mudah kepada maklumat cuaca semasa,” ujarnya. – MalaysiaGazette