KUALA LUMPUR – Dua bot ditahan dalam Ops Pluto Timur Ops Tiris 3.0 kerana melakukan pengubhsuaian tangki minyak tanpa kebenaran dan gagal melaporkan pertukaran nahkoda di kedudukan 3.7 batu nautika tenggara Pulau Sakar, Sabah kira-kira jam 2.55 petang semalam.
Pengarah Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, kesalahan itu melibatkan sebuah bot lampu dan bot nelayan tempatan.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati bot lampu dengan nombor pendaftaran SA 6907/5/F dikendalikan oleh dua individu, masing-masing warga Indonesia dan Palauh, manakala bot nelayan tempatan dikendalikan seorang warga Indonesia bersama lima kru Palauh.
Kesemua mereka yang berusia antara 25 hingga 40 tahun memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, katanya dalam satu kenyataan.
Dzulfikhar berkata, bot lampu tersebut telah melanggar Akta Perikanan 1985 dengan melakukan pengubahsuaian tangki minyak tanpa kelulusan dan lesen bot itu juga telah tamat tempoh.
Sementara itu, bot nelayan tempatan didapati melanggar Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah kerana gagal melaporkan pertukaran nakhoda.
“Kedua-dua bot bersama kru telah dibawa ke Jeti Perikanan Lahad Datu untuk siasatan lanjut,” ujarnya.
Jelas belaiu, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sekitar RM350,000. – MalaysiaGazette