KUALA LUMPUR – Penyanyi Ina Naim menepis dakwaan netizen yang mengatakan sikapnya yang sudah berubah akan mengakibatkan arwah suami terdahulu menanggung dosanya ketika ini.
Ina atau nama sebenarnya Nordiana Mohd. Naim menjelaskan, hubungan dengan Allahyarham Suhaimi Saad sudah putus sebaik dia mengahwini Mohd. Khairul Rizal Mohd. Shukor.
Kata ibu kepada empat anak iu, justeru apa juga perbuatannya tidak akan memberi kesan terhadap arwah.
Namun Ina berkata, dia mengutamakan solat buat anak-anak kerana dosa meninggalkan ibadah akan memberi kesan kepada arwah bapa mereka.
“Tapi saya sangat berkeras dengan mereka supaya jaga amalan terutama solat sebab bila anak-anak tinggalkan solat, ibu bapa meskipun sudah meninggal akan terasa seksanya,” katanya dalam siaran langsung TikTok.
Menurut Ina, selepas mendirikan rumah tangga buat kali kedua, tugas dan tanggungjawabnya kini hanyalah kepada Khairul Rizal.
“Saya dah tak ada apa-apa hubungan dengan suami lama, dah terputus. Tapi saya harap, insya-Allah mudah-mudahan doa saya untuk arwah sampai,” ujarnya.
Dalam perkongsian tersebut, Ina turut menangkis tuduhan segelintir individu yang mendakwa dirinya berubah selepas pemergian Suhaimi apabila dilihat semakin lantang bersuara.
Menurutnya, dia mengambil alih peranan sebagai penyampai ketika sesi ‘live’ promosikan produk jualan sehingga membuatkan orang nampak dirinya lebih ke depan serta banyak bercakap.
“Apabila dia sampaikan sesuatu ilmu, dia lebih tahu jadi saya duduk belakang. Bila Allah ambil dia dan ganti dengan pasangan baharu, Khairul tak tahu tentang TikTok.
“Sebab itu dia ke belakang sikit dan dia banyak ‘handle’ benda lain. Banyak bantu saya termasuk jadual, rundingan dan sebagainya,” ujarnya.
Sementara itu, Ina berkahwin dengan Mohd. Khairul pada 8 November lalu iaitu selepas hampir setahun pemergian Suhaimi.
Perkahwinan dengan Allahyarham Suhaimi pula adalah pada 12 Ogos 2007, namun penyanyi nasyid itu meninggal dunia pada 15 November 2023 akibat jangkitan kuman pada paru-paru.
Hasil perkongsian hidup selama 16 tahun, mereka dikurniakan empat cahaya mata, Ehmad Hadie Elfardie, Sallman Elkhoyri, Phyrosh Elfadwah dan Nur Layla Elghufrony. – MalaysiaGazette