Kim Seri

KUALA LUMPUR – Pempengaruh Kim Seri Eina yang terpalit dengan dakwaan penipuan pakej pelancongan ke Seoul, Korea Selatan yang melibatkan nilai kerugian hampir RM500,000 mengakui perniagaan berdepan masalah sejak tahun ini.

Beliau yang bermastautin di Korea Selatan berkata, apa yang berlaku di luar jangkaan sedangkan niatnya Ikhlas untuk menawarkan pengalaman bercuti kepada orang ramai sejak tahun 2016.

Ibu kepada tiga anak itu turut urut memohon maaf kepada pelanggannya dan dia berusaha menyelesaikan masalah yang timbul itu.

“Pertama sekali saya ingin memohon maaf dengan setulus hati saya pada semua pihaknya yang kecewa akibat isu ini. Segala yang berlaku adalah daripada kelemahan dan kekurangan saya serta memikul tanggungjawab untuk menyelesaikan semua perkara ini.

“Saya perjelaskan sedikit yang pertama di mana perniagaan pakej pelancongan saya yang saya jalankan dari tahun 2016 bukan baru lagi dan saya bermula dengan niat yang ikhlas untuk memberi pengalaman lebih baik kepada anda semua terhadap negara Korea.

“Sebab itu, saya menetapkan harga yang murah kepada anda semua semua namun baru-baru ini dalam tahun ini banyak masalah yang berlaku yang tidak dijangka muncul sehingga menyebabkan banyak mengganggu operasi,” katanya menerusi TikTok miliknya secara langsung di sini malam ini.

Terdahulu, tular di laman media sosial TikTok video seorang wanita yang mendakwa dirinya bersama rombongan terkandas di lapangan terbang selepas tiket penerbangan pulang ke tanah air yang dijanjikan oleh pempengaruh dikenali sebagai Kimseri tidak wujud.

Wanita itu mendakwa telah membuat semakan di kaunter tiket, namun namanya bersama rombongan tidak tersenarai dalam rekod tempahan penerbangan.

Sebelum ini media melaporkan, orang ramai yang mendakwa menjadi mangsa penipuan agensi pelancongan milik seorang pempengaruh yang berpangkalan di Korea Selatan diminta tampil membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Susulan itu Kim Seri atau nama sebenarnya, Seri Azlina memohon maaf dan memberi jaminan akan menyelesaikan tunggakan bayaran kepada pelanggan terkesan daripada trip pakej pelancongan tertunda sebelum atau pada 1 Februari tahun depan.

Polis Diraja Malaysia pula mengesahkan setakat Khamis lalu, pihaknya menerima 24 laporan daripada mangsa penipuan pakej pelancongan ke Korea Selatan dilakukan oleh seorang pempengaruh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here