KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak perempuan maut, manakala bapa dan dua lagi kakaknya cedera selepas motosikal yang dibonceng mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Kampung, Sungai Ayam, Batu Pahat, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, semasa kejadian motosikal ditunggang bapa mangsa dan dua kakaknya, masing-masing berusia tujuh dan lapan tahun dari arah Senggarang ke arah Minyak Beku.
Apabila sampai di tempat kejadian pemandu lori yang berusia 44 tahun telah keluar simpang tanpa memberi keutamaan terlebih dahulu kepada motosikal yang bergerak lurus.
Mangsa, Afiqah Syaurah Qamarul Ariffin, 4, meninggal dunia di tempat kejadian.
Kesemua mangsa yang cedera dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu melulu dan membahayakan.
Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih 10 tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM20,000. – MalaysiaGazette