Logo Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 29 MEI 2023.

PUTRAJAYA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menggagalkan 135 kes cubaan menyeludup dadah ke dalam atau keluar negara melalui mod udara, menggunakan perkhidmatan mel, kargo dan bungkusan, tahun ini.

Dalam kenyataannya, JKDM memberitahu, kes itu menunjukkan peningkatan sebanyak 22 peratus atau 24 kes berbanding 111 kes yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lalu.

Sehubungan itu, Bahagian Penguatkuasaan JKDM mengadakan perbincangan bersama Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) pada Selasa lalu bagi memuktamadkan strategi penguatkuasaan di dalam kawasan zon bebas, termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Hasil perbincangan itu, JKDM memaklumkan akan menggunakan sepenuhnya tambahan 66 mesin pengimbas yang ditempatkan di seluruh negara dan 20 Anjing Pengesan Dadah (APD) bagi memperkasakan aktiviti penguatkuasaan membanteras penyeludupan dadah.

“JKDM percaya libat urus yang berterusan dengan pihak berkuasa zon dan operator terminal kargo akan dipanjangkan ke semua pintu masuk antarabangsa lain dalam usaha menyekat pergerakan dadah melalui mod udara,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, JKDM mengingatkan semua pengguna perkhidmatan mod udara untuk lebih berhati-hati dalam membuat pengikraran dagangan atau mengangkut barang dagangan agar tidak terjebak dalam aktiviti penyeludupan dadah.

“JKDM tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana orang yang terbabit dalam melakukan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234)” menurut kenyataan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here