KUALA LUMPUR – Mahasiswa Progresif Universiti Malaya (UM) beranggapan isu berkaitan kes cabul tidak patut berlaku di institusi pengajian tinggi kerana ia pusat pendidikan yang dipandang tinggi oleh masyarakat.
Presidennya, Muhammad Ziyad Syahmi Ab Hamid berkata, kejadian yang berlaku adalah di dalam pagar universiti itu sudah tentu melibatkan mereka yang berilmu.
“Lebih mengejutkan apabila isu ini dikaitkan dengan seorang pensyarah yang berpangkat profesor dan secara peribadi, sebagai mahasiswa saya sama sekali tidak mengiktiraf pensyarah itu terlibat golongan akademik dan intelektual.
“Sekiranya tiada tindakan tegas, tidak mustahil suatu hari nanti isu ini boleh menjadi normalisasi dalam masyarakat,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.
Menurut Muhammad Ziyad, apa yang didakwa berlaku itu telah menimbulkan persoalan serius mengenai integriti serta keselamatan di institusi pengajian tinggi.
Insiden seperti itu bukan sahaja mencemarkan nama baik universiti tetapi juga menunjukkan wujudnya kelompongan dalam melindungi hak dan keselamatan mahasiswa, katanya.
“Kesan daripada perbuatan terkutuk tersebut bukan sahaja meninggalkan impak yang buruk kepada keadaan fizikal mangsa malah berpotensi mengganggu kestabilan emosi dan kesihatan mental mangsa sehingga menjejaskan norma kehidupan harian.
“Saya mengharapkan agar semua pihak memberi kerjasama yang baik bagi menjamin siasatan yang telus dan adil terutamanya pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Universiti Malaya (UM) bagi memastikan suspek yang terlibat dijatuhkan hukuman yang tegas dan setimpal,” ujarnya.
Jelas Muhammad Ziyad, kepercayaan masyarakat terhadap institusi pendidikan mesti dipulihkan dengan memastikan pelaku menerima hukuman setimpal dan langkah pencegahan lebih ketat dilaksanakan pada masa depan.
Tambahnya, mahasiswa diseru untuk berani melaporkan kejadian dan menolak pemangsa yang cuba mengambil kesempatan.
Terdahulu, media melaporkan Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Zambry Abdul Kadir sudah mengarahkan UM untuk mengambil tindakan segera berkenaan isu berkenaan.
Susulan itu, Unit Integriti UM sedang menjalankan siasatan secara aktif berhubung kes itu. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: