KUALA LUMPUR – Konsert kumpulan oi!, A.C.A.B di Zepp Kuala Lumpur semalam terpaksa dihentikan seketika apabila pemain dram rebah dipercayai akibat serangan jantung.
Pemain dram dikenali sebagai Zul itu rebah ketika sedang memainkan lagu ketiga, kira-kira 30 minit selepas Konsert A.C.A.B 30th Anniversary bermula.
Penyanyinya, Megat Hafiz Mohammad atau lebih dikenali sebagai Megat dilaporkan mengesahkan Zul terkena serangan jantung dan sudah dibawa ke hospital dengan ambulans yang berada di lokasi konsert.
Konsert disambung semula kira-kira 20 minit kemudian dan posisi dram digantikan dengan Irfan.
Konsert semalam adalah terakhir diadakan A.C.A.B sebelum kumpulan itu dibubarkan.
Zul mula mengorak langkah sebagai pemain dram bersama A.C.A.B pada 1995 selepas diundang oleh Megat untuk menggantikan posisi Black yang mengundurkan diri daripada kumpulan itu.
Kumpulan itu ditubuhkan pada 1994 mengakhiri perjalanan muzik mereka selepas 30 tahun menerusi Konsert 30th A.C.A.B Final Concert di Zepp Kuala Lumpur, malam tadi.
Bertemakan ‘Bring Back The Bootboys’ sebagai simbolik kepada gaya ketika di kemuncak karier, konsert berkenaan juga menghimpunkan anggota asal termasuk menampilkan persembahan istimewa daripada band Eropah, Haymaker.-MalaysiaGazette