KUALA KUBU BHARU – Pergerakan Pengakap di negara ini terus memainkan peranan penting dalam membentuk generasi muda berwibawa melalui program latihan praktikal dan pendidikan non-formal seperti jambori.
Ahli Majlis Pengakap Negara, Tan Sri Johari Abdul berkata, pengalaman dan ilmu kepimpinan perlu diwariskan kepada anak muda bagi melahirkan pemimpin masa depan yang berkualiti.
“Apa yang kita lihat hari ini, pemimpin seperti Jeneral Datuk Zin (Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral Datuk r Mohd. Zin Bidin) telah bertahun-tahun terlibat dalam dunia akademik, ketenteraan dan pengakap. Ilmu dan pengalman ini perlu kita sampaikan kepada generasi muda.
“Jambori adalah platform terbaik untuk menerapkan bukan sahaja ilmu kepimpinan tetapi juga pengalaman berharga kepada mereka,” katanya pada Majlis Perasmian Jambori Malaysia Ke-14 dan Jambori Keamanan IUMS Ke-8 di Kem Bina Semangat di sini hari ini.
Beliau menegaskan, bilik darjah sahaja tidak mencukupi untuk melahirkan pemimpin berkaliber.
“Latihan dan program seperti jambori ini adalah ruang untuk anak muda mempelajari nilai kepimpinan melalui pengalaman langsung.
“Insya-Allah, dengan penganjuran jambori yang lebih kerap, ramai anak muda akan mendapat manfaatnya,” tambah beliau.
Menjawab soalan mengenai peranan pengakap Malaysia peringkat antarabangsa, Johari menjelaskan, pergerakan ini turut menyumbang kepada diplomasi sejajar dengan hubungan antara kerajaan.
“Setiap tahun, kita bukan sahaja bertemu pengakap dari negara lain tetapi mereka juga datang ke Malaysia. Ini adalah bentuk parallel diplomacy di mana NGO seperti pengakap membantu mengeratkan hubungan antara negara,” katanya.
Program jambori, menurut beliau, mampu menyelesaikan pelbagai isu yang kelihatan kecil tetapi memberikan impak besar dalam hubungan masyarakat antarabangsa.
Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua Majlis Pengakap Negara, Datuk Ahmad Shazilly Ismail Bakti dan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Nasaruddin Shamsuddin.
Sementara itu, Mohd. Zin menekankan keunikan pengakap sebagai platform pendidikan non-formal.
“Di sekolah, kita belajar teori melalui pendidikan formal. Namun pengakap mengajar kemahiran kepimpinan dan soft skills yang tidak diajar di bilik darjah.
“Pengakap menjadi pelengkap kepada sistem pendidikan formal, membantu melatih anak muda untuk menjadi pemimpin masa depan yang hebat,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan pengakap adalah pertubuhan terbesar di dunia dengan keahlian 57 juta ahli di 176 negara.
“Walaupun Malaysia negara kecil, kita mempunyai struktur kepengakapan yang lengkap dengan Biro Pengakap Dunia berpusat di Kuala Lumpur.
“Ini menunjukkan betapa pentingnya peranan Malaysia dalam dunia pengakap,” katanya. – MalaysiaGazette