MOBILITI bandar adalah salah satu cabaran terbesar yang dihadapi oleh bandar-bandar moden. Pertambahan penduduk dan penggunaan kenderaan bermotor secara meluas telah menyebabkan kesesakan lalu lintas yang berpanjangan, pencemaran udara yang semakin teruk, serta pelbagai masalah kesihatan yang berkaitan dengan gaya hidup tidak aktif. Dalam usaha menangani masalah ini, pengangkutan aktif telah muncul sebagai penyelesaian yang mampan, berkesan, dan sihat. Pengangkutan aktif ini merujuk kepada mod pergerakan yang memerlukan usaha fizikal seperti berjalan kaki, berbasikal, mikromobiliti, dan pengangkutan awam. Selain itu, terdapat juga mod lain yang kurang popular tetapi semakin mendapat perhatian, seperti skating dan jogging.
Pengangkutan aktif memberikan manfaat kesihatan fizikal dan mental yang ketara. Berjalan kaki atau berbasikal sekurang- kurangnya 30 minit sehari boleh
mengurangkan risiko penyakit tidak berjangkit seperti penyakit jantung, diabetes, dan obesiti. Aktiviti fizikal ini juga membantu meningkatkan kekuatan otot, daya tahan kardiovaskular, dan metabolisme badan. Di Malaysia, di mana masalah obesiti semakin meningkat, pengangkutan aktif boleh menjadi salah satu cara yang berkesan untuk mengatasi masalah ini.
Selain itu, aktiviti fizikal seperti berjalan kaki dan berbasikal dapat meningkatkan kesihatan mental. Aktiviti-aktiviti ini merangsang pengeluaran hormon endorfin, yang bertindak untuk mengurangkan tekanan dan meningkatkan mood. Kajian menunjukkan individu yang aktif secara fizikal mempunyai tahap
kebahagiaan yang lebih tinggi dan mengalami kurang masalah tekanan dan kemurungan.
Kenderaan bermotor adalah penyumbang utama kepada pencemaran udara di bandar-bandar. Kesan Gas Rumah Hijau (GHG) yang dilepaskan oleh kenderaan menyebabkan pelbagai masalah kesihatan pernafasan dan penyakit kronik lain, khususnya bagi golongan muda dan warga emas. Dengan mengurangkan pergantungan kepada kenderaan bermotor dan menggalakkan pengangkutan aktif, tahap pelepasan karbon dapat dikurangkan secara signifikan, sekali gus meningkatkan kualiti udara. Di bandar-bandar yang mengutamakan pengangkutan aktif seperti Amsterdam dan Copenhagen, pengurangan pelepasan karbon dan pencemaran udara telah memberikan kesan positif yang besar terhadap kesihatan awam dan persekitaran.
Pengangkutan aktif juga mempunyai impak ekonomi yang positif terhadap perniagaan setempat. Kawasan yang mesra pengangkutan aktif seperti laluan pejalan kaki dan basikal cenderung untuk menarik lebih ramai pengunjung ke kafe, restoran, dan kedai tempatan. Kajian di bandar Melbourne menunjukkan perniagaan di kawasan mesra pengangkutan aktif mengalami peningkatan jualan sebanyak 25 peratus selepas pengenalan laluan basikal.
Dengan lebih ramai orang berjalan kaki atau berbasikal, kawasan perniagaan menjadi lebih mesra pengunjung, memperkukuhkan ekonomi tempatan serta mencipta peluang pekerjaan baharu. Ini menunjukkan pengangkutan aktif bukan sahaja menyumbang kepada alam sekitar tetapi juga memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi yang lebih inklusif dan dinamik.
Berjalan kaki adalah bentuk pengangkutan paling asas dan paling mudah diakses. Bandar yang mesra pejalan kaki seperti Copenhagen dan Amsterdam menyediakan
laluan pejalan kaki yang luas, selamat, serta penyeberangan yang mudah diakses. Kelebihan berjalan kaki termasuk kos yang rendah, faedah kesihatan yang besar, dan kemudahan pelaksanaan tanpa keperluan peralatan khas.
Berbasikal adalah satu lagi mod pengangkutan aktif yang semakin popular. Bandar seperti Amsterdam dan Copenhagen terkenal dengan infrastruktur berbasikal
mereka yang mantap. Laluan basikal yang luas dan terhubung dengan baik, serta tempat letak basikal yang selamat, memudahkan penduduk untuk menggunakan
basikal sebagai mod pengangkutan harian. Berbasikal membantu mengurangkan pelepasan karbon sambil meningkatkan kesihatan fizikal pengguna.
Mikromobiliti pula melibatkan penggunaan kenderaan kecil seperti skuter elektrik dan basikal elektrik. Kenderaan ini menjadi popular di bandar besar kerana ia memberikan penyelesaian yang cepat dan mesra alam untuk perjalanan jarak pendek. Aplikasi mudah alih yang membolehkan pengguna menyewa skuter atau
basikal elektrik juga menjadikan pengangkutan ini lebih mudah diakses.
Pengangkutan awam seperti bas, tren, dan LRT adalah komponen penting dalam sistem pengangkutan bandar. Walaupun ia bukan sepenuhnya pengangkutan aktif,
ia sering digabungkan dengan mod aktif seperti berjalan kaki atau berbasikal. Integrasi antara pengangkutan awam dan laluan pejalan kaki serta basikal, seperti yang terdapat di bandar-bandar besar seperti Seoul dan Singapura, membantu memudahkan mobiliti bandar dengan lebih cekap.
Rollerblading atau skating adalah mod pengangkutan yang menyeronokkan dan sihat. Ia memerlukan tenaga fizikal yang tinggi dan merupakan alternatif yang menarik untuk perjalanan jarak pendek. Walaupun tidak sepopular berbasikal, bandar-bandar seperti Barcelona menyediakan laluan khas untuk aktiviti ini.
Selain skuter elektrik, skuter non-elektrik atau manual juga merupakan mod pengangkutan yang popular, terutamanya di kalangan pelajar dan golongan muda.
Skuter ini adalah pilihan yang murah dan mesra alam untuk perjalanan jarak pendek. Dengan peningkatan penggunaan skuter di bandar, beberapa bandar telah
menyediakan laluan khas untuk mereka.
Jogging atau berlari, walaupun biasanya dilakukan untuk kecergasan, juga boleh dijadikan mod pengangkutan aktif. Di bandar seperti Tokyo, laluan khas untuk pelari telah dibina di taman-taman dan kawasan awam, memudahkan penduduk untuk bergerak sambil bersenam.
Cabaran dalam pengangkutan aktif
Banyak bandar di Malaysia masih kurang menyediakan infrastruktur yang mencukupi untuk pejalan kaki dan penunggang basikal. Laluan pejalan kaki yang sempit dan kurang selamat serta kekurangan tempat letak basikal adalah antara cabaran utama yang perlu diatasi. Keselamatan merupakan kebimbangan utama bagi pengguna pengangkutan aktif.
Di bandar-bandar yang sibuk, pejalan kaki dan penunggang basikal berisiko tinggi untuk terlibat dalam kemalangan jalan raya. Oleh itu, penyediaan laluan yang selamat dan pemisahan antara kenderaan bermotor dan pengguna pengangkutan aktif adalah penting.
Penggunaan kenderaan peribadi masih dianggap sebagai simbol kejayaan di Malaysia. Oleh itu, ramai yang tidak berminat untuk beralih kepada pengangkutan aktif. Perubahan ini memerlukan pendidikan dan kempen kesedaran secara berterusan.
Penyelesaian dan inisiatif masa depan
Pihak kerajaan dan pihak berkuasa tempatan perlu melabur dalam pembangunan laluan basikal, kaki lima yang luas, dan tempat letak basikal. Langkah ini penting
untuk meningkatkan keselamatan dan menarik lebih ramai pengguna. Kempen kesedaran awam mengenai manfaat pengangkutan aktif perlu dilaksanakan
secara meluas. Programprogram pendidikan yang memberi tumpuan kepada kesihatan, penjimatan kos, dan pengurangan pencemaran perlu dipromosikan untuk
meningkatkan kesedaran dan penggunaan pengangkutan aktif.
Penglibatan komuniti dalam merancang dan melaksanakan infrastruktur pengangkutan aktif adalah penting. Masyarakat perlu terlibat secara aktif dalam
merancang, membangunkan, dan menyokong infrastruktur pengangkutan aktif. Sesi dialog antara penduduk bandar dan pihak berkuasa tempatan akan memastikan
bahawa keperluan komuniti dipenuhi dengan baik. Contohnya, di Barcelona, inisiatif & superblocks telah diperkenalkan, yang mana beberapa blok bandar ditutup kepada kenderaan bermotor bagi memberi ruang lebih kepada pejalan kaki dan aktiviti sosial. Ini bukan sahaja meningkatkan aktiviti fizikal tetapi juga mengurangkan pencemaran udara secara signifikan.
Penggunaan teknologi pintar dan inovasi juga memainkan peranan penting dalam memajukan pengangkutan aktif. Aplikasi mudah alih yang menyediakan maklumat
masa nyata tentang laluan pejalan kaki dan basikal serta perkhidmatan perkongsian basikal atau skuter elektrik memudahkan penggunaan mod pengangkutan ini.
Bandar-bandar seperti Paris dan Singapura telah menggunakan teknologi ini dengan berkesan untuk menggalakkan pengangkutan aktif. Selain itu, teknologi pintar
seperti lampu isyarat yang memberi keutamaan kepada pejalan kaki dan penunggang basikal, atau sensor lalu lintas yang mengawal aliran kenderaan bermotor, dapat meningkatkan keselamatan dan kemudahan pengangkutan aktif.
Pengangkutan aktif berkait rapat dengan inisiatif hijau yang menyokong pembangunan bandar lestari. Banyak bandar di seluruh dunia kini menggabungkan ruang hijau seperti taman-taman awam dan zon bebas kenderaan bagi memudahkan penggunaan pengangkutan aktif. Zon bebas kenderaan ini mengurangkan penggunaan kenderaan bermotor di kawasan pusat bandar dan memberikan lebih ruang kepada pejalan kaki, penunggang basikal, dan pengguna mod pengangkutan lain yang lebih mesra alam.
Sebagai contoh, bandar Paris telah memperkenalkan konsep ‘Bandar 15 Minit’ yang semua keperluan harian penduduk boleh dicapai dalam masa 15 minit
berjalan kaki atau berbasikal. Dengan adanya infrastruktur seperti ini, bandar tidak hanya menawarkan kemudahan akses tetapi juga menggalakkan pergerakan yang
lebih sihat dan mesra alam. Inisiatif sebegini membantu mengurangkan pelepasan karbon, mengurangkan pencemaran udara, dan meningkatkan kualiti hidup
penduduk bandar.
Selain itu, bandar-bandar seperti Freiburg di Jerman juga menerapkan model pembangunan hijau yang memfokuskan kepada pengurangan penggunaan kereta di
pusat bandar. Freiburg telah mengembangkan rangkaian laluan basikal yang luas dan menyediakan insentif kepada penduduk untuk menggunakan pengangkutan
awam, berjalan kaki, atau berbasikal sebagai alternatif kepada kenderaan bermotor. Dengan ini, bandar tersebut dapat mengekalkan statusnya sebagai antara bandar paling hijau dan mesra alam di Eropah.
Menggalakkan pengangkutan aktif melalui pendidikan dan kesedaran
Pendidikan memainkan peranan yang penting dalam mempromosikan pengangkutan aktif, terutamanya di negara-negara yang masih bergantung kepada kenderaan persendirian. Kempen kesedaran awam yang berkaitan dengan manfaat pengangkutan aktif kepada kesihatan, alam sekitar, dan ekonomi haruslah dilakukan secara berterusan. Usaha ini perlu melibatkan kerjasama antara pihak kerajaan, sekolah, NGO, dan sektor swasta bagi memastikan mesej ini sampai kepada seluruh lapisan masyarakat.
Di sesetengah negara, program pendidikan sekolah telah mengintegrasikan aspek pengangkutan aktif dalam kurikulum mereka. Sebagai contoh, di Belanda, kanak-
kanak diajar sejak usia muda bagaimana untuk berbasikal dengan selamat di bandar. Ini bukan sahaja melahirkan generasi pengguna pengangkutan aktif, tetapi
juga memastikan bahawa keselamatan jalan raya sentiasa diutamakan. Selain itu, sekolah-sekolah di negara-negara seperti Denmark juga menggalakkan pelajar
berjalan kaki atau berbasikal ke sekolah dengan menyediakan tempat letak basikal yang selamat dan laluan basikal khas.
Bagi menggalakkan pengangkutan aktif dalam kalangan pekerja pejabat, beberapa syarikat kini memperkenalkan insentif seperti bayaran balik kos perjalanan untuk
mereka yang berjalan kaki atau berbasikal ke tempat kerja. Di sesetengah bandar, seperti London, majikan turut menyokong inisiatif ‘Cycle to Work’yang menyediakan subsidi kepada pekerja yang membeli basikal untuk digunakan sebagai mod pengangkutan ke tempat kerja.
Untuk masa depan yang lebih cerah dalam pengangkutan aktif, perlu ada pendekatan yang bersepadu dalam merancang infrastruktur. Bandar-bandar yang berjaya mempromosikan pengangkutan aktif seperti Amsterdam, Copenhagen, dan Tokyo tidak hanya menyediakan laluan basikal atau pejalan kaki yang baik, tetapi mereka juga memastikan bahawa mod pengangkutan aktif ini terintegrasi dengan mod pengangkutan awam yang lain. Ini termasuk memastikan kemudahan seperti parkir basikal di stesen tren, laluan basikal yang selamat ke terminal bas, serta pelaksanaan sistem perkongsian basikal yang boleh diakses dari mana-mana sahaja.
Di Malaysia, integrasi infrastruktur pengangkutan aktif dengan pengangkutan awam boleh membantu mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas yang sering berlaku di bandar-bandar besar. Misalnya, dengan menyediakan laluan basikal yang selamat dan terhubung ke stesen LRT dan MRT, pengguna boleh memilih untuk berbasikal ke stesen dan menaiki tren ke destinasi terakhir mereka. Ini akan mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian dan menyumbang kepada pengurangan kesesakan jalan raya di kawasan bandar.
Selain itu, bandar-bandar di Malaysia juga boleh mencontohi usaha seperti yang dilakukan di negaranegara Skandinavia, di mana teknologi digunakan untuk
menyokong pengangkutan aktif. Sistem lampu isyarat pintar yang memberi keutamaan kepada penunggang basikal dan pejalan kaki, serta aplikasi telefon
pintar yang menyediakan maklumat laluan terbaik untuk pengangkutan aktif, adalah antara langkah-langkah yang boleh diambil untuk mewujudkan bandar yang lebih mesra
pengangkutan aktif.
Kesimpulan
Pengangkutan aktif bukan sahaja menawarkan pelbagai manfaat dari segi kesihatan, alam sekitar, dan ekonomi, tetapi ia juga membuka peluang untuk
membentuk bandar yang lebih mampan dan inklusif. Dengan penyediaan infrastruktur yang bersepadu, pendidikan yang berterusan, serta inisiatif hijau yang
menyokong gaya hidup yang lebih mesra alam, pengangkutan aktif boleh menjadi asas kepada masa depan mobiliti bandar yang lebih baik.
Bandar-bandar di Malaysia dan seluruh dunia mempunyai peluang besar untuk melaksanakan perubahan ini. Dengan pelaburan dalam infrastruktur yang mesra
pengguna, sokongan teknologi, serta kerjasama antara pelbagai pihak, kita dapat mencapai matlamat mobiliti yang lebih mampan dan sihat. Masa depan mobiliti
bandar terletak pada penggunaan pengangkutan aktif yang berterusan dan meluas. Kita semua mempunyai peranan penting untuk memainkan peranan dalam
menyokong usaha ini, demi mewujudkan bandar-bandar yang lebih hijau, bersih, dan sihat untuk generasi akan datang.
Oleh: Boey Chin Kat (Bersara), Pelajar Sarjana, Universiti Kebangsaan Malaysia & Prof. Madya Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff, Pensyarah Kanan, Universiti Kebangsaan Malaysia.