Pentingnya menjaga kebersihan gigi. Gambar hiasan

ANDA memakai pendakap gigi atau braces? Berikut adalah beberapa peringatan untuk menjaga braces anda supaya sentiasa dalam keadaan baik untuk mendapatkan hasil rawatan yang optimum.

Tahukah anda aktiviti harian dan hujung minggu anda boleh mempengaruhi pengalaman rawatan ortodontik. Pertama sekali, penting untuk anda memaklumkan
kepada pakar ortodontik anda jika anda terlibat dengan aktiviti sukan seperti seni mempertahankan diri, berbasikal atau sebarang aktiviti berimpak tinggi.

Bagi kanak-kanak atau orang dewasa yang kerap bersukan, anda boleh bertanya dan mendapatkan lebih maklumat berkenaan “mouthguard” yang akan disediakan khas untuk anda. Dengan memakai “mouthguard” semasa bersukan atau aktiviti berimpak tinggi boleh membantu mengelakkan risiko seperti luka pada bibir atau kecederaan pada gigi dan komponen braces anda.

Kedua, diet memainkan peranan penting semasa rawatan ortodontik. Mengapa? Makanan yang liat, melekit dan keras harus dielakkan kerana ia boleh menyebabkan
bracket tertanggal atau rosak. Kebanyakan kanak-kanak gemar makan gula-gula atau bertih jagung ketika beraktiviti luar, menonton filem dan terutama semasa
majlis harijadi. Sebagai orang dewasa, kita harus lebih peka dan menyediakan alternatif manisan yang lebih sesuai. Terdapat banyak pilihan yogurt berperisa, jus buah-buahan dan snek sihat bersaiz kecil yang tidak akan merosakkan braket.

Orang dewasa yang memakai pendakap gigi juga menghadapi cabaran serupa. Gaya hidup yang sibuk dan pilihan makanan segera (seperti burger atau bar protein
keras) sering menjadi pilihan mudah untuk mengalas perut. Walau bagaimanapun, merancang lebih awal atau memilih alternatif lain seperti buah yang dipotong,
semangkuk salad atau hidangan berkuah adalah pilihan lebih baik, bukan sahaja untuk kesihatan tetapi juga untuk rawatan ortodontik. Ini juga dapat mengurangkan janji temu kecemasan akibat kerosakan kepada braket gigi.

Ketiga, merokok dan vaping. Walaupun kesedaran umum mengenai kesan merokok dan vaping seperti gusi bengkak, nafas berbau dan pembentukan plak semakin
meluas, sesetengah pesakit mungkin tidak menyedari merokok boleh menjejaskan rawatan ortodontik. Aliran darah ke gusi dalam kalangan orang dewasa yang merokok mungkin terjejas, menyebabkan pergerakan gigi menjadi lebih perlahan. Ini akan memanjangkan tempoh rawatan ortodontik keseluruhan.

Akhir sekali, semua pesakit yang memakai pendakap gigi, sama ada remaja atau orang dewasa, perlu mengekalkan kebersihan mulut yang baik sepanjang rawatan
ortodontik. Semoga rawatan ortodontik anda menjadi pengalaman yang baik untuk anda!

Dr. Iman Azmuddin
Pensyarah Ortodontik
Fakulti Pergigian
Universiti Sains Islam Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here